PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan satu sindiket pelacuran warga asing yang menawarkan perkhidmatan seks dengan menggunakan aplikasi WeChat di dua buah premis sekitar Puchong Jaya semalam.
Sindiket tersebut didapati menyediakan bilik-bilik untuk aktiviti seks yang dihiasi dengan tema kartun seperti Hello Kitty, Pikachu dan Doraemon.

Para pelanggan dikenakan bayaran bermula dari harga RM155 dan akan mendapat perkhidmatan seks selama 45 minit.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata, semasa pasukan serbuan sampai di lokasi pertama, terdapat cubaan menutup pintu hadapan premis oleh penjaga dipercayai melalui maklumat yang diberikan oleh ‘tonto’, tetapi tindakan tersebut telah disekat oleh pegawai imigresen yang telah bersedia di lokasi premis.
“Pada masa yang sama, terdapat cubaan melarikan diri oleh wanita warga asing yang disyaki bekerja di sebuah kelab malam yang berada sebaris deretan dengan premis yang diserbu.
“Anggota operasi yang membuat kepungan di kawasan sekitar berjaya menahan kesemua mereka yang cuba melarikan diri,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Operasi itu dijalankan oleh Unit Operasi Khas (QRT), Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen pada pukul 1.45 pagi dengan kekuatan seramai 15 orang pegawai imigresen.
Jelas beliau, pasukan serbuan kemudian melakukan serbuan di lokasi kedua yang terletak sederet dengan premis pertama yang didapati menawarkan perkhidmatan seks dengan harga RM160 bagi tempoh masa selama 45 minit.
“Penjaga premis ini juga mempunyai ‘tonto’ yang akan selalu berada di luar premis untuk mengawasi pergerakan pihak berkuatkuasa dan akan memberi maklumat kepada premis-premis yang menjalankan aktiviti persundalan tentang pergerakan pasukan serbuan dan operasi.
“Semasa serbuan, wanita-wanita ini mengambil risiko untuk bersembunyi di ruang tangki air dan juga dalam peti sejuk bagi mengelakkan dirinya ditangkap oleh pegawai serbuan,” ujar beliau. – K! ONLINE











