Dr. M bantu kempen Anwar Isnin ini - Utusan Malaysia

Dr. M bantu kempen Anwar Isnin ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Kempen calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menerima sentuhan istimewa daripada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dr. Mahathir yang sebelum ini biasanya tidak turun padang bagi membantu kempen calon pilihan raya termasuk PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba­lakong dan Seri Setia akan membantu kempen Anwar menerusi satu majlis yang dibuat secara besar-besaran pada Isnin ini.

Dr. Mahathir berkata, keputusan tersebut dibuat memandangkan terdapat banyak khabar angin timbul berkaitan hubungannya yang konon bergaduh dengan bakal Perdana Menteri kelapan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ada banyak cakap-cakap orang buat mengenai saya dan Anwar, kata saya bergaduh dengan Anwar dan tidak menyokong Anwar.

“Saya dan ketua parti PH akan berada di sana (Port Dickson) untuk berkempen bagi Anwar pada 8 Oktober ini, akan ada satu majlis besar-besaran bagi kempen di sana,” kata­nya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Albukhary di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Pre­siden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muh­yiddin Yassin dan Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo.

Dalam pada itu, ketika me­ngulas mengenai Bersih 2.0 yang menegur kempen Anwar kerana menggunakan menteri daripada PH, Dr. Mahathir berkata, perkara berkenaan ti­dak dapat dielakkan kerana menteri juga adalah ahli politik.

“Walaupun jadi menteri, kita orang parti, kerja dalam parti kena buat juga. Lagipun kita tidak dapat bayaran, malah guna duit sendiri sahaja,” katanya.

Sementara itu Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, pakatan masih tidak dapat memutuskan mengenai dana politik bagi tujuan pembiayaan parti-parti politik.

Sambil mengakui keadaan kewangan PH kini dalam kea­daan kritikal, Dr. Mahathir berkata, kerajaan masih lagi mengkaji kaedah sesuai digunakan bagi memastikan tiada unsur rasuah dalam dana politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini