DEMI menghasilkan sebuah dokumentari istimewa berjudul Menggapai Awan, seorang penuntut Sarjana Filem Digital dan Televisyen Universiti Lim Kok Wing (LKWU) iaitu Raja Mohamad Amin Raja Azhar sanggup mencabar diri mendaki Gunung Fuji, Jepun baru-baru ini.
Bersama harapan melangit, Raja Mohamad Amin yang juga merangkap ketua ekspedisi serta pengarah dokumentari turut berharap agar ia berjaya melayakkannya memenangi pertandingan dokumentari serta filem pendek di peringkat universiti mahu pun antarabangsa.
“Siapa yang tidak mahu menang, lebih-lebih lagi selepas berhempas-pulas menghasilkan dokumentari sambil mendaki Gunung Fuji,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.
Mengulas lanjut, kata pemuda berusia 25 tahun itu, dokumentari berkenaan sangat istimewa kerana ia memaparkan kesukarannya mengarah sambil mendaki bersama kru-kru lain.
“Ternyata mengarah dokumentari sambil mendaki adalah dua tugas yang berbeza. Kami terpaksa ‘bermain’ dengan emosi dan fizikal untuk menyelesaikannya.
“Namun, kami tidak patah semangat dan terus mendaki walaupun terpaksa mengharungi pelbagai cabaran,” ujarnya.
Selain Raja Mohamad Amin, dia turut ditemani seorang lagi rakan dalam bidang yang sama iaitu Saidatul Nurlin Ahmad Hishamnuri, dua jurukamera, dua kru dan malim gunung.
Dalam pada itu, Raja Mohamad Amin juga mengakui, dia dan kru terpaksa berdepan dengan cuaca yang sangat sejuk berserta angin kuat ketika pendakian.
“Cabaran utama kami adalah cuaca sejuk. Bayangkan dalam keadaan cuaca 2 darjah Celsius, kami membawa peralatan penggambaran seberat 40 kilogram (kg),” katanya
Kesukaran pertama digagahi tanpa mereka sedari di depan kini terbentang cabaran lain iaitu gelora angin kuat yang menerbangkan pasir hingga menghempas ke muka dan badan.
“Angin terlalu kuat menyebabkan kami terpaksa berlindung di sebalik batu besar sebelum meneruskan pendakian ke puncak.
“Syukur segalanya dipermudahkan dan kami berjaya membawa nama universiti di puncak Gunung Fuji dengan jayanya,” jelas Raja Mohamad Amin.
Ditanya tentang kenapa dia memilih Gunung Fuji untuk menghasilkan dokumentari, ini jawapan Raja Mohamad Amin.
“Bagi saya, Gunung Fuji merupakan simbol Jepun yang terkenal. Malah, ia sering digambarkan dalam karya seni dan gambar serta dikunjungi pendaki gunung seluruh dunia.
“Maka, kami teruja untuk mendaki Gunung Fuji memandangkan tiada lagi pelajar yang mengibarkan bendera LKWU di puncaknya,” ulasnya.
Biarpun berdepan pelbagai kesukaran, Raja Mohamad Amin dan krunya bersemangat meneruskan misi pendakiannya sehingga ke puncak.
“Pendakian ke Gunung Fuji merupakan pengalaman pertama buat kami semua, sekali gus membuatkan kami rasa teruja untuk menyelesaikan misi ini,” ujarnya menutup bicara.
Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA










