Cegah jenayah di sekolah - Utusan Malaysia

Cegah jenayah di sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Seramai 120 murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Gua Musang di sini menyertai program kesedaran dan ilmu pencegahan jenayah dalam kalangan warga sekolah hari ini.

Ceramah itu telah disampaikan oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang, Asisten Superintendan Che Yob Pin.

Dalam ceramahnya, Che Yob berkata, masalah jenayah perlu dibendung oleh warga sekolah termasuklah murid, ibu bapa dan pihak pengurusan sekolah.

“Perbuatan salah laku seperti merosakkan harta benda sekolah, membuli, bergaduh, mencuri, memeras ugut dan lain-lain perlu dilihat secara serius oleh semua pihak.

“Gejala tersebut boleh memberi impak negatif terhadap pengurusan sekolah sekiranya tidak ditangani secara serius dan berkesan di peringkat awal. Kita berharap warga sekolah terus melaporkan kepada pihak polis sekiranya mengesan kegiatan jenayah di sekolah,” katanya dalam ceramah pada Program Pencegahan Jenayah di Dewan Aktiviti SJKC Gua Musang, di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Perhubungan Sekolah, Inspektor Abd. Aziz Mat Resof, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, Chan See Keong dan guru besarnya, Law Yin Sim.

Sementara itu, See Keong berkata, para murid perlu didedahkan dengan aspek pencegahan jenayah agar lebih berwaspada dan tidak menjadi mangsa.

“Kami amat menghargai hubungan erat dengan polis kerana banyak bekerjasama dalam mendidik masyarakat termasuklah murid dan warga sekolah.

“Kita melihat jenayah dalam kalangan remaja semakin membimbangkan disebabkan faktor sosial seperti kepincangan keluarga, pengaruh rakan sebaya dan pengaruh internet,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN