PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hari ini berkata, berita mengenai suaminya Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditular dalam media sosial adalah berita palsu.
“Sudah jawab, itu berita palsu,” jawabnya ringkas ketika ditanya berhubung dakwaan tersebar mengaitkan Anwar terbabit kes liwat di Singapura.
Wan Azizah yang juga presiden PKR dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Bulan Kaunseling Kebangsaan Tahun 2018 di kementeriannya di sini hari ini.
Semalam, seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama Lokman Noor Adam mendakwa seorang penuntut warga Indonesia sudah membuat laporan polis mendakwa diliwat oleh Anwar di Singapura baru-baru ini. Catatan itu merujuk kepada BERITAMediacorp sebagai sumber berita itu.
BERITAMediacorp telah menafikan menerbitkan berita itu dan sudah menghubungi Lokman bagi memintanya memadamkan catatan tersebut.
Lokman dalam Facebooknya membuat kemas kini dalam catatannya bahawa BERITAMediacorp sudah memaklumkan ia tidak menerbitkan berita itu. – Bernama











