LOS ANGELES 5 Okt. – Pemenang Anugerah Oscar, Ben Affleck menamatkan program pemulihan ketagihan alkohol yang dijalani selama 40 hari.
Affleck menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Instagram peribadinya berkata, untuk melawan ketagihan alkohol yang dialaminya adalah sukar dan memakan masa lama.
Dia sebelum ini pernah menjalani proses pemulihan yang sama pada 2001 dan tahun lalu.
Menurut Affleck, dia mengucapkan terima kasih kepada keluarganya, rakan-rakan dan para peminat di atas sokongan mereka.
“Melawan sebarang ketagihan adalah perjuangan seumur hidup dan sukar. Ia memerlukan komitmen sepenuh masa.
“Saya berjuang untuk diri sendiri dan keluarga,” katanya.
Affleck mempunyai tiga orang anak bersama aktres, Jennifer Garner namun pasangan berkenaan bercerai pada 2015.
Namun pada Ogos lalu, Garner dilihat membawa Affleck ke pusat rawatan di Los Angeles.
Affleck mencapai kemuncak kerjayanya pada 1998 apabila dia berkongsi anugerah Oscar untuk drama Goodwill Hunter dengan rakan karibnya, Matt Damon.
Pada 2013, dia meraih anugerah Oscar kedua bagi pemenang gambar terbaik Agro di mana dia sebagai penerbit dan pengarah.
Affleck yang terkenal dengan watak Batman itu sering kali menceritakan mengenai masalah ketagihan alkohol yang dialaminya. – REUTERS











