IPOH – Seorang bekas pengurus subsidi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan pecah amanah membabitkan pengagihan baja subsidi bernilai RM80,909 empat tahun lalu.
Tertuduh, Amirul Redzuan Sharudin, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim S. Indra Nehru.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah dengan tidak mengedarkan baja subsidi hak Kerajaan Malaysia kepada tiga pengusaha sawah padi berlainan masing-masing bernilai RM62,046, RM13,567 dan RM5,296.
Tertuduh didakwa tidak mengagihkan semua baja berjumlah 1,068 beg baja sebatian, 417 beg baja urea dan 650 beg baja NPK bagi musim 1/2014 dan 2/2014 kepada ketiga-tiga petani tersebut di pejabatnya di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Siput Utara dekat sini.
Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), K. Kumuthambal manakala tertuduh diwakili oleh peguam, Norlida Ishak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Kumuthambal mencadangkan wang jaminan sebanyak RM20,000 bagi semua pertuduhan.
Norlida dalam rayuan kepada anak guamnya memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan memandangkan tertuduh kini tidak bekerja selain perlu menanggung isteri yang juga tidak bekerja dan anak serta ibu bapa yang uzur.
Indra Nehru membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin. Sehingga petang semalam, tertuduh gagal membayar wang jaminan tersebut.
Mahkamah menetapkan 15 November depan sebagai tarikh sebutan semula. – K! ONLINE










