KUALA LUMPUR 16 Okt. – Seorang bayi perempuan yang masih hidup ditemukan orang awam di tangga Flat Desa Permai, Ampang dekat sini pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Hamza Alias berkata, bayi yang masih bertali pusat itu ditemukan kira-kira pukul 11.15 malam dengan lengkap berbaju dan berseluar warna kuning serta dibalut dengan kain putih bercorak.
Ujarnya, bayi itu kemudiannya diletakkan di dalam sebuah beg berwarna keemasan jenama Enfagrow A sebelum diletakkan di tangga pangsapuri tersebut.
“Orang awam yang menemukan bayi berkenaan terus membawanya ke balai polis berdekatan untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










