IPOH 30 Okt. – Belanjawan 2019 yang dibentangkan Jumaat ini diharap memberi tumpuan kepada lebih banyak projek pembangunan, sekali gus membantu kontraktor bumiputera terutama kontraktor kelas G1 hingga G7.
Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Perak (PKMMNP), Datuk Jamaludin Abd. Rahim berkata, penambahan lebih banyak projek pembangunan itu dapat membantu golongan tersebut yang kebanyakannya mengharapkan projek daripada kerajaan.
Katanya, projek tersebut perlu diberikan secepat mungkin bagi ‘menyelamatkan’ kontraktor bumiputera yang semakin tertekan hingga terpaksa gulung tikar ekoran ketiadaan kerja.
“Bagi belanjawan kali ini, kita minta agar memperbanyakkan peruntukan untuk projek pembangunan seperti membina jalan, rumah orang miskin, longkang dan masjid.
“Pembangunan seperti ini dengan sendirinya membantu kontraktor bumiputera terutama di Perak yang mempunyai 3,000 kontraktor berdaftar dengan 90 peratus daripadanya kelas G1,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Di SEREMBAN, Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Sembilan (PKMMNS), Mohamad Dahalan Alias berkata, banyak usaha boleh dilakukan oleh kerajaan bagi menangani masalah kekurangan projek untuk kontraktor bumiputera.
“Tetapi apa yang kita tengok kedudukan politik kerajaan baharu belum kukuh menyebabkan banyak masa ditumpukan kepada perkara itu. Sehingga kini, belum jelas hala tuju kerajaan baharu dalam isu kekurangan projek untuk kontraktor,” katanya.
Tambahnya, persatuan itu memberi tempoh sehingga hujung tahun ini kepada kerajaan untuk mengambil tindakan mengatasi masalah ini sebelum merancang tindakan selanjutnya
Jelasnya, PKMMNS juga kesal dengan tindakan kerajaan membuka permohonan untuk mendapatkan lesen kelas G2 untuk projek bernilai antara RM200,000 sehingga RM500,000.










