Bajet 2019: Kerajaan perlu perkenal cukai tambahan bagi bayar hutang negara - Utusan Malaysia

Bajet 2019: Kerajaan perlu perkenal cukai tambahan bagi bayar hutang negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Ahli ekonomi bersetuju dengan langkah kerajaan untuk memperluaskan asas cukai dengan memperkenal cukai tambahan pada Bajet 2019 yang akan datang serta menjual aset untuk meningkatkan hasil negara tanpa membebankan rakyat.

Mereka berkata, kerajaan juga harus mengkaji untuk meningkatkan kadar cukai sedia ada untuk mendapatkan pendapatan yang diperlukan bagi membayar hutang negara.

Ahli Ekonomi Kanan Maybank Kim Eng, Chua Hak Bin mencadangkan agar duti setem hartanah terhadap pembeli tempatan dan asing perlu dinaikkan.

Beliau juga mencadangkan kerajaan mengenakan duti setem ke atas semua urus niaga harta tanpa had ambang atau pengecualian kerana ini akan menaikkan jumlah duti yang dikumpul dan menyumbang kepada peningkatan kutipan hasil.

Hak Bin adalah seorang daripada ahli panel pada sesi perbincangan bertajuk “Peluang dan Cabaran untuk Malaysia Baharu” di Malaysia: Persidangan Pelabur Permulaan Baharu di sini, hari ini.

Beliau berkata, duti setem pada masa ini antara 3.0 peratus dan 3.5 peratus, adalah rendah berbanding negara-negara lain di rantau ini seperti Singapura di mana duti setem adalah tiga kali ganda daripada Malaysia.

“Saya fikir duti setem lebih berfungsi. Jika anda (kerajaan) mahu mengenakan cukai keuntungan modal ke atas stok, ia akan menjadi idea yang tidak baik.

“Wang (pelaburan) akan beralih ke bidang kuasa lain yang tidak mempunyai cukai keuntungan modal,” katanya sambil menambah bahawa hasil yang dipungut dapat digunakan untuk infrastruktur sosial.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Pembangunan Asia, Dr Bernard Ng berkata, kerajaan mungkin akan mengenakan cukai baru ke atas bahan api fosil atau melaksanakan cukai karbon.

Menurutnya, ia akan membantu negara untuk mencapai ikrar yang dibuat di Copenhagen pada 2016 bagi memotong pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Ekonomi RHB Research Institute Sdn Bhd, Peck Boon Soon berkata, cukai ke atas ekuiti dan aset warisan tidak seharusnya menjadi pilihan.

“Cukai baru terbabit, jika dilaksanakan akan menjadi agak negatif bagi Malaysia dalam jangka panjang kerana ia akan mempengaruhi pemikiran orang ramai mengenai Malaysia sebagai destinasi pelaburan,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN