PORT DICKSON 4 Okt. – Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga anggota bomba yang lemas dalam operasi menyelamat di sebuah lombong dekat Puchong, Selangor malam tadi.
Ucapan takziah itu disampaikan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang menziarahi keluarga Allahyarham Adnan Othman di Taman Jaya, Lukut di sini, hari ini.
“Datuk Seri Anwar juga menzahirkan rasa simpati atas tragedi yang menimpa dan beliau berhasrat untuk bertemu secara peribadi dengan keluarga allahyarham Adnan kelak,” katanya.
Turut menziarahi Allahyarham ialah Menteri Besar, Aminuddin Harun; calon Pas, Leftenan Kolonel (B) Mohd. Nazari Mokhtar serta tiga calon Bebas yang lain.
Sebelum itu, jenazah Adnan yang dibawa dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 15, Shah Alam, Selangor tiba di kediaman tersebut kira-kira pukul 11.45 pagi sambil diiringi isterinya, Norshamiza Salleh, 32.
Jenazah Allahyarham kemudian dibawa masjid untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Raja Jumaat, Lukut selepas solat zuhur. – UTUSAN ONLINE











