PORT DICKSON 5 Okt. – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberikan keterangan dalam masa terdekat berkaitan tuduhan liwat yang didakwa berlaku di Singapura baru-baru ini.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Mohd. Faisal Mohd. Noor, calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson itu sepatutnya memberi keterangan semalam.
Bagaimanapun, katanya, ia ditangguhkan kerana beliau menziarahi jenazah ahli bomba yang meninggal dunia dalam kejadian lemas.
“Sehingga kini kami telah merekodkan keterangan daripada Pengarah Komunikasi Strategik PKR, Fahmi Fadzil. Kami belum berpeluang mendapatkan keterangan daripada Anwar memandangkan jadualnya yang agak padat.
“Bagaimanapun, kemungkinan kita akan berusaha untuk mendapatkannya hari ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd. Faisal berkata, tiga individu lain telah memberi kerjasama dalam siasatan kes tersebut iaitu Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, pegawai media dari Singapura dan wartawan Utusan Malaysia.
Lokman sebelum ini memuat naik dakwaan Anwar meliwat seorang pelajar Indonesia di Singapura menerusi laman Facebook miliknya dan mendakwa perkara itu dilaporkan portal berita Singapura, Mediacorp News. Bagaimanapun, portal tersebut menafikan dakwaan itu dan Lokman memadamkan tuduhan di laman sosialnya.
Susulan itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson.
Sementara itu, Mohamad Faisal memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 500 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











