KIMANIS – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Anifah Aman memberi bayangan akan membentuk parti baharu bagi mengembalikan hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 di sini hari ini.
Anifah yang juga Ahli Parlimen Kimanis berkata, pembentukan parti yang digambarkan sebagai rumah baharu itu akan lebih kukuh sekiranya menggabungkan sokongan rakyat tanpa mengira perbezaan ideologi politik.
“Di Malaya (Semenanjung) pembangkang di sana kekal selama 55 tahun. Kita (pembangkang) di sini hanya empat tahun setengah jadi takkan tidak boleh tahan.
“Bagus kita bikin (bina) rumah cepat. Ini perjuangan untuk anak cucu kita. Jangan nanti rakyat u-turn. Siapa setuju jika saya buat rumah baharu?” katanya diiringi tepukan gemuruh di hadapan para penyokongnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Santai dan Ramah Mesra Program Penjelasan MA63 di sini hari ini.
Program tersebut turut dihadiri peguam, Ansari Abdullah dan Ahli Parlimen Keningau merangkap Presiden Parti Solidariti Sabah (STAR), Datuk Dr. Jeffrey Kitingan sebagai ahli panel.
Sementara itu pada sidang akhbar, Anifah menegaskan beliau lebih selesa bergerak secara solo dan belum bersedia menyertai mana-mana parti politik di Sabah.
Katanya, sebagai Ahli Parlimen yang berada dalam kalangan blok pembangkang, beliau menyatakan sokongan penuh terhadap sebarang usul yang membawa manfaat kepada negeri ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Anifah berkata, sebarang gerakan memperjuangkan hak Sabah dan MA63 akan digerakkan selepas melihat keputusan terkini Kerajaan Pusat di peringkat Parlimen. – K! ONLINE











