PUTRAJAYA 16 Okt. – Mahkamah Persekutuan sebentar tadi membenarkan permohonan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kawasan Parlimen Rembau, Amino Agus Suyub untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara tiga bulan kerana kesalahan menghina mahkamah.
Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum memutuskan agar hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuannya didengar dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.
Rabu lalu, Mahkamah Tinggi Seremban menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap Amino selepas mendapati beliau bersalah menghina mahkamah kerana mengacau ganggu pentadbiran keadilan.
Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan saksi, Daing Muhamad Rahimi dan Amino serta memerintahkan hukuman berkuat kuasa serta merta.
Daing ialah Penolong Pengurus Pilihan Raya bagi Parlimen Rembau semasa hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 28 April lalu.
Amino dan Daing ketika itu memberi keterangan dalam petisyen pilihan raya oleh Dr. S. Streram
yang mencabar kemenangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan.
Dalam penghakimannya, beliau berkata, perbuatan Amino yang menghantar pesanan melalui WhatsApp kepada Daing, sehari sebelum Daing memberi keterangan sebagai saksi di mahkamah adalah perbuatan yang sangat serius dan dianggap menghina mahkamah.
Mesej WhatsApp tersebut yang dihantar melalui talian peribadi Amino berbunyi: “As Salam.. Lepas ni kau akan jadi saksi .. hati-hati…teruk den (saya) kono (kena) soal dalam court (mahkamah)… lebih baik cakap tak tau..” – UTUSAN ONLINE










