PUTRAJAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir untuk kali keempat bagi memberi keterangan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dana Yayasan Akal Budi di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di sini hari ini.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tiba di kompleks SPRM pada pukul 9.16 pagi dengan menaiki kenderaan utiliti sukan (SUV) berwarna putih.
Turut dilihat tiba di kompleks tersebut ialah anak perempuannya, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid yang tiba pada pukul 9.24 pagi dengan menaiki kereta SUV berwarna hijau gelap dipercayai turut dipanggil untuk memberi keterangan kepada SPRM.
Semalam, bekas Timbalan Perdana Menteri itu memberi keterangan selama lapan jam kepada SPRM.
Selain kedua-dua beranak itu, turut memberi keterangan pada hari sama bagi membantu siasatan dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi ialah abang tiri kepada Ahmad Zahid iaitu Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi. – K! ONLINE











