KOTA KINABALU – Desas-desus mengenai Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli keluar UMNO terjawab selepas beliau mengesahkan meninggalkan parti tersebut di Labuan hari ini.
Dengan keputusan itu, Rozman turut mengumumkan penyertaannya dalam Parti Warisan Sabah (Warisan) yang dipimpin oleh Presiden Warisan merangkap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Rozman berkata, keputusan meninggalkan UMNO diambil demi masa depan Labuan dan kesejahteraan masyarakat tempatan.
“Perubahan besar lanskap politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) memberi peluang kepada Labuan untuk memperbaiki sistem pentadbiran pada peringkat struktur sekali gus keluar daripada situasi sekarang yang mana kami ditadbir dari jauh di Putrajaya.
“Kekuatan Labuan sebagai sebahagian daripada Pulau Borneo juga semakin berkurangan. Justeru, Labuan memerlukan keupayaan yang luas bagi membolehkan kami bergerak lebih pantas pada masa sama merapatkan hubungan dengan negeri jiran (Sabah),” katanya pada sidang akhbar di Labuan hari ini.
Sehubungan itu, Rozman yang juga merupakan Pengerusi Perbadanan Labuan memberitahu, pembaharuan wajar dimulakan dengan Ahli Parlimen Labuan datang daripada sebuah parti yang berpusat di Sabah.
“Saya percaya langkah ini menjadi lembaran baharu hubungan antara Labuan dan Sabah yang lebih produktif serta membawa faedah kepada kedua-dua pihak.
“Lagipun ia sejajar dengan komitmen Mohd. Shafie sebelum ini yang memberi jaminan bahawa Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Sabah perlu memberi perhatian secukupnya kepada Labuan,” jelasnya. – K! ONLINE











