KUALA LUMPUR 16 Okt. – Seorang ahli Parlimen merupakan antara lapan individu yang menerima kompaun kesalahan merokok selepas bangunan Parlimen diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.
Ketua Sektor Kawalan Tembakau Kementerian Kesihatan, Dr. Ariana Hassan berkata, pihaknya melaksanakan pemantauan ketat di tiga kawasan dalam bangunan Parlimen iaitu ruang telaga udara, tempat rehat ahli Dewan Rakyat dan kafeteria.
“Semalam merupakan hari pertama kita keluarkan lapan kompaun kesalahan, pagi ini belum ada lagi kes.
“Kami pantau di tiga zon merokok sepanjang Parlimen bersidang,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Menurutnya, warta peraturan tersebut berkuat kuasa semalam.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sudut merokok dan tempat makan di dalam bangunan Parlimen telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok.
“Para perokok perlu merokok di luar bangunan Parlimen kerana di bangunan ini tiada lagi kawasan yang boleh merokok,” katanya. – UTUSAN ONLINE











