KEMAMAN 15 Okt. – Dua syarikat pembinaan yang beroperasi di daerah ini didenda sebanyak RM17,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana membiarkan tapak pembinaan sebagai lokasi pembiakan nyamuk aedes.
Majistret Badrul Munir Mohd Hamdy menjatuhkan hukuman itu selepas penyelia tapak binaan Asia Gulf Property Sdn. Bhd., Woo Yue Thien, 40, dan penyelia tapak binaan Multielite Holding Sdn. Bhd, Muhamad Ainman Muhamad, 28, yang mewakili syarikat masing-masing mengaku bersalah.
Syarikat Asia Gulf Property didenda sebanyak RM7,000 manakala Multielite Holding didenda sebanyak RM10,000.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua syarikat pembinaan itu didakwa membiakkan serangga pembawa penyakit iaitu larva nyamuk aedes di dalam bekas plastik dan tangki yang berisi air di dalam kawasan tapak pembinaan berkenaan.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 13(2) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan dihukum di bawah Seksyen 23(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, sepasukan anggota penguat kuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman membuat pemeriksaan pembiakan serangga pembawa penyakit di kedua-dua tapak pembinaan berkenaan pada awal Mac lalu dalam Operasi Gempur Aedes.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Daerah, Mohd Rosli Abd Wahab memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat disebabkan kedua-dua syarikat ini mempunyai rekod kesalahan berulang di mana pernah ditutup di bawah Seksyen 8(3)(aa) akta yang sama dan pernah didenda oleh mahkamah atas kesalahan yang sama.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Mohd Anuar Abd Rahman ketika ditemui berkata, selain dua kes terbaharu, satu lagi kes seumpamanya telah dibawa ke mahkamah sepanjang tahun ini dengan denda keseluruhan sebanyak RM22,000.
“Hukuman yang berat dikenakan dapat memberi pengajaran dan iktibar kepada pengusaha tapak pembinaan yang lain agar lebih bertanggungjawab bagi kepentingan kesihatan orang awam,” katanya.
Beliau menasihatkan semua syarikat pemaju agar lebih bertanggungjawab memastikan kawasan tapak binaan tidak menjadi tempat pembiakan aedes, dan pihaknya akan membuat pemantauan berterusan. – UTUSAN ONLINE










