Kuala lumpur – Angkara berebut untuk menonton siaran televisyen, seorang adik dipercayai maut ditikam abangnya sendiri dalam satu pertengkaran di rumah mereka di Flat Seri Murni dekat Selayang semalam.
Kejadian berlaku di antara pukul 4 hingga 5 pagi apabila adik-beradik terbabit dipercayai bertikam lidah sebelum mereka bergaduh sehingga seorang terbunuh dan seorang lagi cedera.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 5.15 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, sebaik tiba di rumah itu, anggota polis menemui mayat seorang lelaki yang berusia 48 tahun dalam keadaan terbaring dengan lima kesan tikaman pada bahagian hadapan badan.
“Abang si mati yang berusia 56 tahun turut cedera pada tapak tangan serta kepala akibat pergaduhan tersebut dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Selayang.
“Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian, polis menemui sebilah parang dan gunting yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.











