KUALA LUMPUR 17 Okt. – Tiga beranak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Selayang dekat sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki yang merupakan jiran mereka dengan menggunakan sebatang besi, topi keledar dan sebilah parang, awal bulan lalu.

Majistret Nurul Izzah Hasan Basri bagaimanapun menetapkan Isnin ini untuk menjatuhkan hukuman selepas ketiga-ketiga tertuduh iaitu Md. Isa Ismail, 63, dan dua anaknya, Ros Iman, 26, dan Rosliza, 31, tidak mengakui fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin.
Mengikut pertuduhan, Md. Isa, Ros Iman, dan Rosliza didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan sebatang besi, topi keledar dan sebilah parang terhadap S. Viknes Kumar, 23, di depan Blok D, Prima Selayang Apartment, Jalan PS 1, Jalan Rawang, Batu Caves dekat sini pada pukul 9.30 malam, 6 September lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.
Dalam pada itu, Rosliza yang bekerja sebagai pengawal keselamatan didakwa satu lagi pertuduhan iaitu melakukan khianat dengan merosakkan cermin depan dan sisi sebuah kereta milik J. Darshana, 22, yang merupakan teman wanita Viknes Kumar menggunakan topi keledar di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Bagi pertuduhan itu, wanita berkenaan yang turut mengaku bersalah didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Ketiga-tiga tertuduh diwakili oleh peguam Azman Abdullah.
Difahamkan, kejadian berlaku berikutan ketiga-tiga tertuduh tidak berpuas hati ekzos motosikal salah seorang tertuduh dilanggar oleh mangsa semasa berada di tempat letak kenderaan sekitar pangsapuri itu.










