14 ditahan ceroboh hutan Terengganu - Utusan Malaysia

14 ditahan ceroboh hutan Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT 9 Okt. – Jabatan Perhutanan negeri berjaya menahan 14 individu yang terlibat dalam aktiviti meneroka, menceroboh dana mencuri hasil hutan di dua daerah di negeri ini sepanjang sembilan bulan tahun ini.

Pengarahnya, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, kesemua mereka akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat sebaik sahaja kertas siasatan dilengkapkan.

Katanya, Dungun dan Besut menjadi tumpuan pencerobohan pihak yang tidak bertanggungjawab itu namun begitu setakat ini aktiviti masih terkawal meskipun pihaknya mengalami kekangan kekurangan anggota.    

“Masalah kekurangan anggota Pengawas Hutan dan Pekerja Hutan dijangka akan dapat diatasi tidak lama lagi apabila kerajaan negeri bersetuju untuk menambah kira-kira 100 kakitangan berjawatan tetap.   

“Dengan pertambahan itu kita boleh meningkatkan penguatkuasaan,” katanya selepas merasmikan Program Communication Education Participant Public Awareness (CEPA) di Sekolah Kebangsaan Padang Landak, dekat sini hari ini.

Dalam majlis itu, beliau bersama warga sekolah menanam 300 pokok Tokema yang juga dikenali sebagai Sakura Malaysia, Merawan Siput Jantan (Hopea odorata), Kandis (Garrcenia griffitthii) dan Kelat Paya (Euginia papillosa Duthie).

Katanya, penganjuran CEPA bertujuan meningkatkan kesedaran anggota masyarakat terutama golongan pelajar dan murid sekolah agar memberi perhatian kepada aspek menjaga alam sekitar dan mencintai hutan.

Menurutnya, pada masa yang sama, kerjasama itu membolehkan golongan sasaran berkongsi maklumat dan sumber tentang peranan hutan terhadap alam dan cara memelihara kepelbagaian hayat hutan.

Selain itu beliau menambah, pihaknya akan mencadangkan kepada pengurusan tertinggi agar mewujudkan pasukan Renjer Hutan dari kalangan pelajar sekolah bagi mengaktifkan kesedaran tentang alam sekitar khususnya hutan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN