PELABUHAN KLANG – Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV), Datuk Zakaria Arshad hari ini menyangkal dakwaan beliau telah dipecat sebagai ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.
Zakaria sebaliknya menjelaskan beliau telah melepaskan jawatan itu dengan persetujuan ahli lembaga pengarah yang lain, bertujuan menjaga integriti dan ketelusan syarikat berkenaan.
“Sebelum ini kami (ahli lembaga pengarah) telahpun berbincang untuk memisahkan kuasa ahli lembaga pengarah dan pihak pengurusan kerana tidak mahu wujud konflik kepentingan di situ.
“Ini kerana apabila saya memegang jawatan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif ), ahli lembaga pengarah lain sukar untuk membuat keputusan berhubung apa-apa tindakan ke atas syarikat kerana adanya saya sebagai CEO dalam kalangan ahli lembaga pengarah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran ‘Inisiatif FGV-MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia) Dalam Menerajui Penggunaan B10’ di sini.
Sehubungan itu, Zakaria berkata menerusi mesyuarat agung tahunan syarikat pada Jun lepas, beliau telah menyatakan persetujuan dan memutuskan untuk melepaskan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan. – Bernama









