GUA MUSANG – Seorang wanita maut dalam keadaan mengerikan apabila tangan kanannya putus selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan lori sarat muatan kelapa sawit di Kilometer 23, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Gua Sejuk, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, mangsa, Nor Shahida Abd. Gani, 32, berasal dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan yang menaiki Proton Saga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat tersepit dan cedera parah di bahagian badan.
Bagaimanapun, pemandu lori sawit yang belum diketahui identitinya mengalami kecederaan patah kaki.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, kejadian itu berlaku ketika mangsa memandu kereta Proton Saga dalam perjalanan dari Kuala Krai ke Gua Musang.

Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian mangsa gagal mengawal kenderaan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dan diseret lori sarat muatan sawit sejauh kira-kira 30 meter.
”Kemalangan itu dipercayai telah menyebabkan kereta terbabit juga bergesel dengan lori sehingga menyebabkan tangan kanannya terputus dan terjatuh di atas jalan.
“Kita terpaksa mendapatkan bantuan anggota bomba bagi mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di dalam kereta yang remuk itu,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.
Tambah Mohd. Taufik, pemandu lori yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk rawatan.
Katanya, mangsa yang disahkan maut dibedah siasat di Hospital Gua Musang dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE









