[VIDEO] Tiga maut dalam tragedi pertembungan dua bot  - Utusan Malaysia

[VIDEO] Tiga maut dalam tragedi pertembungan dua bot 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIMBANG – Dua lelaki tempatan termasuk seorang kanak-kanak serta seorang wanita warga Brunei Darussalam maut dalam satu tragedi pelanggaran membabitkan sebuah bot penambang dan bot laju di Sungai Simpang Tiga di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, dua rakyat tempatan yang disahkan meninggal dunia ialah Mohd Nazmi Marali, 21, dan Awang Syukri Awangku Rizan, 7, yang menaiki bot penambang.

Manakala, warga Brunei yang maut dikenal pasti sebagai Sanah Lisa, dua lagi rakan senegaranya yang cedera parah ialah Adri Arshad dan Rosmawati Manaf.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 2.19 petang.

Salah seorang mangsa kanak-kanak berjaya ditemui pasukan penyelamat dalam operasi petang tadi.
Salah seorang mangsa kanak-kanak berjaya ditemui pasukan penyelamat dalam operasi petang tadi.

Katanya, sejurus itu sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang diarahkan ke lokasi untuk melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Berdasarkan maklumat awal, semasa kejadian bot penambang terbabit dikatakan sedang membawa enam penumpang.

“Manakala, bot laju dari Brunei Darussalam pula membawa seramai 20 penumpang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mayat salah seorang daripada tiga mangsa kejadian kemalangan dua bot penumpang di Sarawak hari ini.
Mayat salah seorang daripada tiga mangsa kejadian kemalangan dua bot penumpang di Sarawak hari ini.

Ling Hii menambah, operasi SAR itu juga dibantu pasukan polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia  (APM), polis marin Brunei, serta pekerja syarikat Shell Brunei.

Katanya, mayat ketiga-tiga mangsa sudah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Setakat ini, punca kejadian tersebut masih lagi disiasat,” katanya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN