[VIDEO] Pemilihan PKR tidak jejas persiapan hadapi PRK Port Dickson - Utusan Malaysia

[VIDEO] Pemilihan PKR tidak jejas persiapan hadapi PRK Port Dickson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA 18 Sept. – Proses pemilihan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) bagi semua peringkat Majlis Pimpinan Pusat PKR dan cabang tidak akan menjejaskan persiapan parti itu menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

Menurut Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din, pihaknya tidak akan menangguh tarikh undian PRK tersebut yang dijangka berlangsung pada bulan hadapan.

Katanya, proses mengundi JPP bermula pada hujung minggu ini di empat negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.

“Kita tidak akan tangguhkan tarikh mengundi hujung minggu ini untuk PRK di Port Dickson.


“Pulau Pinang dan Kedah akan mula mengundi pada Sabtu (22 September) ini. Manakala, Perlis dan Perak akan mengundi pada Ahad (23 September) ini,” ujarnya pada sidang akbar Majlis Pimpinan Pusat dan Cabang di Ibu Pejabat Keadilan di sini hari ini.

Proses pengundian itu bakal menyaksikan sebanyak 950 pencalonan di Pulau Pinang dan 940 pencalonan di Kedah, manakala 141 pencalonan di Perlis dan 1460 pencalonan di negeri Perak.

Baru-baru ini, Anwar diumumkan bertanding di kerusi Port Dickson selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Presiden PKR itu untuk bertanding.

Tindakan tersebut adalah untuk memberi laluan kepada Anwar memulakan langkah sebagai Perdana Menteri ke-8 bagi mengantikan Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas ini.

Sementara itu, mengulas mengenai isu penahanan dua sekretariat jawatankuasa pemilihan PKR Kedah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri itu berikutan dakwaan berlakunya politik wang dalam persiapan pemilihan parti, Rashid berkata, beliau mengalu-alukan tindakan agensi tersebut dalam menangani isu berkenaan.

“JPP terbuka untuk bekerjasama dengan semua pihak demi memastikan proses pemilihan parti ini berjalan dengan penuh integriti dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

“JPP juga telah membuat siasatan dalaman terhadap semua petugas. Setakat ini tiada sebarang penglibatan kakitangan dan Petugas Sekretariat JPP Pusat dalam sebarang aktiviti yang melanggar peraturan dan etika pemilihan parti,” katanya.

Sebelum ini, dua individu berkenaan ditahan dipercayai meminta wang berjumlah RM20,000 daripada seorang lelaki berusia 58 tahun sebagai dorongan supaya namanya tidak digugurkan daripada senarai calon yang akan bertanding pada pemilihan parti peringkat cabang di Kedah.

Walaubagaimanapun, mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM Kedah hari ini. – UTUSAN ONLINE





Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN