KUBANG PASU 13 Sept. – Dua bulan lepas, Altamis Izz Wafri Ahmad Shukri, 7, merupakan kanak-kanak normal yang bebas bergerak, ke sekolah malah aktif kerana sukan kegemarannya adalah bola sepak.
Namun hari ini semua itu bagai diragut sekelip mata tatkala disahkan doktor, dia menghidap sejenis penyakit saraf atau tranverse myelitis yang mengakibatkan dia tidak boleh berjalan.
Menurut bapanya, Ahmad Shukri Kassim, 31, satu-satu rawatan yang perlu segera dilakukan ke atas Altamis adalah plasmaferesis di Hospital Pulau Pinang dengan kos RM7,500.
Anggota tentera ini mengakui dengan pendapatan bersih sekitar RM1,500 sebulan sebagai anggota tentera, dia tidak mampu menyediakan kos rawatan itu dengan segera.
“Saya tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu kerana dalam tempoh 47 hari apabila Altamis terpaksa dirawat di hospital sudah banyak wang yang saya habiskan termasuk simpanan.
“Saya memohon kepada JPA dan pejabat zakat negeri tetapi tiada lagi jawapan,” katanya ketika ditemui di rumah yang disewanya di Taman Mahsuri Jitra di sini hari ini.
Jelasnya, Altamis perlu segera menjalani rawatan itu kerana pergerakannya semakin merosot sehingga tidak mampu berjalan.
“Kaki kirinya semakin mengecil Altamis perlu menggunakan alat sokongan termasuk kerusi roda untuk bergerak. Kehidupan sehariannya diuruskan oleh isteri, Norhidayah Md. Amin, 32,” katanya.
Apa yang memilukan sejak diserang penyakit itu pada 5 Julai lepas, kanak-kanak terbabit terpaksa melupakan sementara persekolahannya.
Bagi Almatis, seperti kanak-kanak lain dia berharap untuk kembali berjalan malah ke sekolah semula.
“Saya nak ke sekolah, jumpa kawan-kawan dan bermain bola,” kata pelajar Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Darulaman Jitra di sini.
Sesiapa yang ingin membantu kanak-kanak malang ini supaya dia boleh berjalan semula boleh menghubungi Ahmad Shukri di talian 012 475 4756 dan bantuan juga boleh disalurkan ke akaun Maybank 157063914374 (Ahmad Shukri Kassim). – UTUSAN ONLINE









