KUALA LUMPUR 24 Sept. – Kerajaan terpaksa menimbang semula untuk menarik balik pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas bahan binaan dan perkhidmatan pembinaan sekiranya pemaju hartanah ingkar untuk menurunkan harga rumah.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya sedang menunggu hasil kajian daripada Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) dan akan mengumumkan keputusan berkenaan pengecualian SST sebelum pembentangan bajet pada November.
Katanya, sewaktu pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), sektor pembinaan dikenakan cukai enam peratus termasuk sewa, bil utiliti dalam sektor komersial dan industri, namun kini semua sudah dikecualikan daripada cukai.
“Pengecualian SST telah diberikan dan pihak kerajaan mengharapkan pengurangan harga rumah. Jika tidak, kami terpaksa menarik balik pengecualian itu.
“Kami mahu melihat harga rumah turun. Saya tidak berminat untuk melihat pakej tambahan, ini tidak ada apa-apa makna,” katanya kepada pemberita sempena Persidangan Tahunan Pemaju Hartanah di sini hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Rehda Malaysia, Datuk Soam Heng Choon dan Pengerusi Institut Rehda, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip.
Pada Ogos lalu, Kementerian Kewangan mengumumkan beberapa bahan binaan seperti simen, pasir dan juga besi dikecualikan daripada SST.
Dianjurkan oleh Institut Rehda, acara sehari itu menyaksikan peserta membincangkan idea-idea baharu untuk merangsang dan membangunkan semula ekonomi Malaysia, dengan pemimpin pelbagai industri memberi input kepada kerajaan sebelum Bajet 2019 akan datang, selain mengkaji penyelesaian baharu dalam menangani isu hartanah tidak terjual.
Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata, kerajaan telah menilai struktur bayaran levi bagi lanjutan permit pekerja asing sementara bagi pekerja yang mempunyai pengalaman bekerja lebih 10 tahun di negara ini untuk mengurangkan beban pekerja.
“Menerusi struktur baharu, majikan hanya akan membayar 20 peratus daripada levi tahunan sebanyak RM10,000 untuk memperbaharui permit manakala selebihnya akan ditanggung oleh pekerja.
“Sebelum ini, majikan perlu membayar jumlah penuh, sambil menambah bahawa langkah itu adalah untuk menggalakkan majikan mengekalkan pekerja yang sudah memiliki pengalaman 10 tahun yang sudah dianggap sebagai pekerja mahir,” katanya.
Sementara itu, Heng Choon menggesa semua pemaju perumahan di seluruh negara supaya mengurangkan harga rumah susulan daripada pengecualian SST yang diberikan kerajaan.
Beliau berkata, persatuan itu mengakui bahawa pemansuhan GST dan pengecualian SST terhadap bahan binaan dan perkhidmatan menyediakan enam peratus penjimatan langsung kepada pengguna.
“Sebarang penjimatan yang diperoleh daripada pengecualian ini haruslah dipulangkan semula kepada pembeli menerusi pengurangan harga perumahan
“Rehda kini sedang menjalankan kajian mengenai kemungkinan mengurangkan harga rumah dengan laporan itu dijangka dibentangkan tidak lama lagi,” katanya.










