TUAH buat atlet Pahang, Koong Jia Lin apabila diumum sebagai pemenang bagi acara 5,000 meter (m) jalan kaki wanita walaupun menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018 di Ipoh semalam.
Ia gara-gara penyertaan Nurul Alyahaziqah Kamarazaman dari Kelantan dibatalkan kerana menerima tiga kad merah setelah dikesan melakukan tiga kesalahan iaitu membengkokkan kaki serta berlari anak (floating) sebanyak dua kali pada saingan yang berlangsung di Stadium Perak itu.
“Saya tidak sangka boleh menang dengan cara seperti ini. Bagaimanapun, saya tetap gembira kerana boleh menjadi penyumbang pingat emas bagi skuad Pahang dalam acara yang baharu saya sertai. Sebelum ini saya lebih tertumpu kepada acara 800m serta 1,500m,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Delegasi Teknikal Olahraga Sukma 2018, Tan Boon Seng menjelaskan penyertaan Nurul Alyahaziqah dibatalkan selepas dia menerima kad merah ketiga pada penghujung perlumbaan selepas mendapat dua kad merah sebelum itu daripada tiga hakim berlainan.








