KUALA LUMPUR 17 Sept. – Tenaga Nasional Berhad (TNB) bukan sekadar menyinari Malaysia tetapi juga di dalam memperkasakan masyarakat menerusi pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Sebagai syarikat utiliti terulung negara, TNB menyokong penuh program khususnya ‘Pemerkasaan Pendidikan’, satu daripada teras aktiviti CSR syarikat.
TNB menjalin kerjasama dengan sekolah-sekolah di seluruh negara bagi membantu merealisasikan impian para pelajar. Satu daripada inisiatif itu ialah menerusi program PINTAR atau Promoting Intelligence, Nurturing Talent, Advocating Responsibility (Mempromosikan Kepintaran, Memupuk Bakat, Mengadvokasi Tanggungjawab).
Sejak diperkenalkan pada 2006, TNB bersama-sama warga pendidik untuk meningkatkan prestasi akademik para pelajar yang tidak bernasib baik di kawasan pedalaman terpilih.
Pelbagai aktiviti sekolah seperti perkhemahan motivasi, kelas tuisyen, program kepimpinan dan seminar peperiksaan yang dianjurkan di bawah PINTAR, memperkasa setiap anak untuk menjadi pemimpin di masa hadapan. Setakat ini, kira-kira 16,556 pelajar sekolah di 58 sekolah telah menerima manfaat daripada pembabitan TNB di dalam program sekolah PINTAR.
Biasiswa
Penyertaan TNB di dalam bidang pendidikan negara, sebenarnya lebih meluas dengan penyediaan biasiswa menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) untuk para pelajar daripada golongan tidak berkemampuan selain menarik minat pelajar cemerlang serta mereka yang mempunyai ciri kepemimpinan untuk memohon biasiswa ini.
Daripada satu aspek, program ini adalah satu kaedah mempromosi TNB serta menarik minat bakal pemimpin untuk berkhidmat dengan TNB.
Matlamat ini didorong oleh hakikat bahawa dengan teknologi serba canggih kini, persaingan semakin sengit dan TNB tidak boleh ketinggalan, sekali gus perlu memperluaskan perniagaan ke peringkat global.
Dengan program biasiswa seumpamanya, TNB boleh mencari bakat baharu atau pelajar yang mempunyai minat dan daya saing untuk menjadi pelapis bagi menggantikan kepemimpinan TNB yang ada kini.
Menerusi biasiswa YTN, pelajar boleh memilih belajar di dalam negara dan menyambung pengajian tahun akhir di luar negara atau melanjutkan pelajaran secara terus di luar negara.
Dalam konteks ini TNB memperuntukkan biasiswa bernilai RM10 juta kepada 1,000 pelajar institusi pengajian tinggi awam tahun ini.
Buat permulaan, biasiswa My Brighter Future ini diberikan kepada 1,000 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah pertama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Keluarga susah
Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan biasiswa di ibu negara baru-baru ini, berkata, pemberian biasiswa khas itu disasarkan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.
Yang turut hadir pada majlis 29 Ogos lalu itu ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Ir. Azman Mohd., dan Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab. Rahman.
Sejak 1993, TNB menerusi YTN memperuntukkan lebih RM1 bilion sebagai biasiswa dan pinjaman boleh ubah kepada 11,000 pelajar cemerlang.
Bantuan kewangan itu akan membantu keluarga berkenaan membiayai kos pendidikan anak-anak dan membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.
TNB yang setiap tahun menaja biasiswa dan pinjaman boleh ubah kepada pelajar cemerlang, kini menawarkan dermasiswa khusus untuk penuntut daripada keluarga berpendapatan terendah melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Buat permulaan, dermasiswa yang dikenali Dermasiswa My Brighter Future ini diberikan kepada 1,000 orang penuntut yang berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah pertama dalam bidang Science, Technology, Engineering & Mathematics (STEM).
Kali ini TNB memberikan tajaan Dermasiswa My Brighter Future, yang pertama seumpamanya, untuk membantu pelajar daripada keluarga susah yang mendapat tempat di universiti awam.
Matlamat Dermasiswa My Brighter Future bukan sahaja dapat meringankan beban keluarga berpendapatan terendah menampung kos anak mereka menuntut di universiti, malah kemudiannya membolehkan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.
Penerima
Pada majlis tersebut, 10 penerima Dermasiswa My Brighter Future yang baru mendaftar di Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerima sijil tawaran dermasiswa masing-masing.
Selain UiTM, dermasiswa juga ditawarkan kepada mereka yang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).
Dermasiswa My Brighter Future ini adalah kesinambungan kepada komitmen TNB untuk memperkasa pendidikan di Malaysia dan membangunkan modal insan untuk negara.
Ia juga bagi meningkatkan modal insan untuk industri perbekalan elektrik negara yang telah dilaksanakannya menerusi YTN dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten).
Dermasiswa itu juga diharap bukan sahaja dapat meringankan beban keluarga berpendapatan terendah menampung kos pengajian anak-anak mereka di universiti tetapi juga membolehkan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan dan sebagai tanda memerdekakan diri selepas berjaya kelak.
Tahun hadapan, TNB merancang untuk menaja 4,000 penuntut lagi dan memperluaskan Dermasiswa My Brighter Future kepada universiti awam lain.








