KUALA LUMPUR 27 Sept. – Di sebalik kesuraman yang melanda badminton Malaysia, kemaraan tiga wakil negara dalam kejohanan badminton Terbuka Korea di Seoul hari ini memberi sedikit keceriaan kepada peminat sukan tanah air.
Kejayaan gandingan muda, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pasangan profesional, Low Juan Shen-Chooi Kah Ming meneruskan cabaran beregu lelaki, selain Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dalam saingan beregu wanita memberi harapan baharu buat badminton negara.
Aaron-Wooi Yik mara selepas menewaskan beregu China, Huang Kaixiang-Wang Zekang 21-16, 21-11 dalam aksi pusingan kedua, hari ini.
Kemenangan itu hadir sehari selepas mereka melunaskan dendam ke atas pasangan Thailand, Bodin Isara-Maneepong Jongjit yang menewaskan mereka ketika suku akhir Terbuka Thailand, Julai lalu.
Menanti mereka pada suku akhir esok adalah pilihan kelapan dari Jepun, Hiroyuki Endo-Yuta Watanabe.
Beregu profesional negara, Juan Shen-Kah Ming pula mengejutkan pilihan ketujuh dari Taiwan, Liao Min Chun-Su Ching Heng 21-19, 21-16 dalam satu lagi aksi pusingan kedua.
Bekas beregu kebangsaan itu akan menentang pasangan Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh, esok.
Dalam beregu wanita, pasangan No. 1 negara, Mei Kuan-Meng Yean menewaskan Chang Ye Na-Jung Kyung Eun dari Korea Selatan 21-13, 18-21, 21-14, sekali gus menempah pertemuan dengan pilihan utama, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dari Jepun esok. – UTUSAN ONLINE











