IPOH – Pasukan skuasy wanita Kedah yang dibarisi tiga orang adik-beradik iaitu Aifa, Aira dan Aika Azman berjaya merangkul emas dalam acara berpasukan Sukan Malaysia (Sukma) 2018 selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-0 di Arena Skuasy, Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) semalam.
Aira yang turun sebagai pemain pertama, dipaksa bekerja keras sebelum menyumbang mata buat pasukan Kedah dengan menundukkan M. Kiroshanna 11-5, 8-11, 11-4, 8-11, 11-3 untuk mendahului 1-0.
Pemain kebangsaan, Aifa pula nyata bukan saingan buat pilihan kedua Negeri Sembilan, Ooi Kah Yan apabila gagal memberi saingan kepada wakil Kedah itu apabila mudah melakar kemenangan 11-2, 11-4, 11-7.
Kemenangan itu memastikan emas dalam acara skuasy berpasukan wanita menjadi milik Kedah.
“Sejak awal lagi kami mahu memastikan pingat emas ini milik kami selepas ia terlepas kepada Wilayah Persekutuan pada edisi dua tahun lalu dan kini kami kembali merampasnya.
“Bukan menang mudah tetapi atas semangat berpasukan, kami berjaya memenangi final kali ini. Saya menjadi lebih bersemangat untuk menyumbang mata kedua selepas melihat Aira berjaya memenangi perlawanan pertama,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Pada edisi Sukma 2014, Kedah berjaya memenangi emas dalam acara berpasukan wanita, namun emas itu terlepas ke tangan Wilayah Persekutuan pada temasya 2016 di Sarawak.
Sementara itu, bagi kategori lelaki, Wilayah Persekutuan menepati ramalan memenangi emas dengan menewaskan Sarawak 2-1 pada aksi final.
Juara remaja dunia, Ng Eain Yow nyata mudah menewaskan pemain Sarawak, Marcus Sim Wei Jie 11-6, 11-5, 11-2 untuk menghadiahkan mata pertama buat Wilayah Persekutuan.
Bagaimanapun, Ma Teck Leck kembali menyamakan kedudukan 1-1 setelah menundukkan Jared Michael Nalliah 11-6, 11-7, 11-2 pada aksi kedua.
Namun, Muhammad Aqif Ampandi memastikan emas tidak terlepas daripada genggaman pasukannya selepas melakar kemenangan 11-8, 11-13, 11-4, 11-8.











