KOTA KINABALU 17 Sept. – Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak meletakkan tempoh masa bila status Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung dikembalikan, namun kajian segera akan dilakukan untuk memastikan pelaksanaannya.
Perdana Menteri berkata, buat masa ini banyak kajian perlu dilakukan termasuk memerlukan sokongan dua pertiga majoriti Dewan Rakyat untuk meminda Perlembagaan dan pemansuhan beberapa undang-undang yang berkaitan.
Beliau berkata, sokongan daripada pembangkang dalam Dewan Negara tidak boleh diharapkan kerana telah terbukti apabila kerajaan gagal memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 walaupun Dewan Rakyat telah bersetuju.
“Pada masa ini, kami tidak mempunyai majoriti dua pertiga, Perlembagaan perlu diubah, justeru kita mencari jalan bagaimana memperoleh majoriti. Buat ketika ini kajian akan dilakukan mengenai perkara yang perlu dimansuhkan dan ditukar dengan visi baharu dalam Perlembagaan.
“Kami akan mencari jalan bagaimana memperoleh dua pertiga majoriti, bila mereka (pembangkang) bercakap, mereka mengatakan sesuatu, tetapi bila mendapat arahan untuk tidak menyokong, maka akan timbul masalah seperti Akta Antiberita Tidak Benar 2018. Apabila dibawa ke Dewan Negara, kami tidak mempunyai majoriti dan kalah,” katanya dalam sidang akhbar selepas pertemuan dengan Kabinet Sabah di sini hari ini.
Semalam dalam ucapannya sempena sambutan Hari Malaysia 2018, Dr. Mahathir menyatakan kesediaan mengembalikan hak Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Semenanjung selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut beliau, langkah tersebut perlu dilaksanakan dalam semangat saling hormat-menghormati, tolak ansur dan timbal balik.
Beliau menjelaskan, pemberian hak tersebut melibatkan pelbagai aspek yang akan dikaji seperti lebih banyak rakyat Sabah dan Sarawak bekerja dalam sektor kerajaan serta memberi kuasa kepada kedua-dua negeri membuat keputusan sendiri dalam kerajaan.








