KUALA LUMPUR 16 Sept. – Kementerian Luar mengesahkan setakat ini, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan cedera akibat taufan Mangkhut yang melanda Filipina.
Kementerian itu dalam satu kenyataan turut menasihatkan rakyat Malaysia untuk mengelak kawasan yang terjejas.
“Mereka yang sedang melawat atau menetap di kawasan tersebut dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.
“Rakyat Malaysia yang berada di kawasan terjejas dan memerlukan bantuan konsular, diminta untuk menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila di talian +6326628200 atau +639178640761 (selepas waktu bekerja) atau Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Davao, Mindanao di talian +63822214050 atau +639369684001,” jelas kenyataan itu hari ini. – UTUSAN ONLINE











