MASA depan jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei masih menjadi tanda tanya selepas dia disahkan menghidapi barah hidung peringkat awal baru-baru ini.
Disebabkan itu, jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Hendrawan menggesa pemain-pemain muda negara agar bersiap sedia untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Chong Wei sekiranya bekas pemain No. 1 dunia itu terpaksa bersara.
Ketika ini, Hendrawan mengakui, beliau tidak boleh menentukan sama ada anak buahnya itu akan kembali ke gelanggang dalam masa terdekat memandangkan Chong Wei masih menjalani rawatan rapi di sebuah hospital di Taiwan.
Justeru, beliau berharap pemain-pemain sedia ada lebih berani untuk memikul tanggungjawab lebih besar sekiranya Chong Wei yang juga pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik dinasihatkan oleh doktor agar menggantung raket.
“Buat masa sekarang, belum ada sebarang perancangan buat Chong Wei kerana kita perlu memberi ruang kepadanya untuk pulih. Apabila pulang ke Malaysia, beliau perlu berehat lagi bagi memastikan benar-benar sembuh sebelum berbincang mengenai masa depannya.
“Jika doktor menasihatkan beliau harus bersara, maka kita semua perlu bersedia untuk menerima keputusan tersebut dan pemain-pemain muda perlu bersiap untuk menggalas tanggungjawab lebih besar,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Hendrawan yang merupakan juara dunia 2001 menegaskan, pemain-pemain muda Malaysia perlu bekerja lebih keras memandangkan semakin ramai pemain-pemain baharu yang meningkat naik terutamanya dari Indonesia.
Jika dibandingkan dengan pemain-pemain negara jiran itu, barisan pemain perseorangan lelaki Indonesia menunjukkan peningkatan drastik terutamanya Anthony Ginting yang baru sahaja menjuarai Terbuka China dengan menewaskan bintang Jepun, Kento Momota kelmarin.
“Kita tidak menjangka Chong Wei menghidap penyakit seperti ini, jadi pemain-pemain muda perlu bersedia jika beliau tidak dapat teruskan kariernya. Kalau kita bandingkan dengan Indonesia, kebanyakan pemain muda mereka sudah mampu merangkul kejuaraan.
“Misalnya, Anthony dan Jonatan (Christie) sudah ada pencapaian masing-masing. Indonesia sudah lama mempersiapkan pemain-pemain muda mereka biarpun perlu menanggung kekalahan pada permulaan,” tambahnya.










