MANILA 13 Sept. – Taufan super dikenali sebagai Mangkhut bergerak ke arah Filipina hari ini dan dijangka menyebabkan angin kencang dan hujan lebat menjelang hujung minggu ini sebelum bergerak ke China.
Taufan berkenaan telah melanda Kepulauan Mariana Utara dan bergerak laju di sepanjang Lautan Pasifik dengan kekuatan angin dicatatkan mencecah sehingga 255 kilometer sejam.
Pihak berkuasa tempatan berkata, kira-kira 10 juta orang di negara ini bakal terjejas.
Ribuan penduduk mula berpindah di kawasan tepi pantai di utara Pulau Luzon, di mana taufan tersebut bakal menyebabkan tanah runtuh pada awal Sabtu.
“Pemindahan awal sedang dijalankan di kawasan perbandaran kami serta kampung yang mudah terdedah kepada ribut. Kami akan memindahkan lebih ramai penduduk lagi,” kata jurucakap kerajaan tempatan, Rogelio Sending.
Sementara itu, perkhidmatan cuaca negeri berkata, Mangkhut akan menjadi taufan terkuat pada tahun ini.
Selain itu, taufan terbabit akan meningkatkan kekerapan hujan monsun yang sebelum ini menyebabkan banjir di tengah Luzon.
Pejabat pertahanan awam di Manila berkata, bandar dan kota di laluan Mangkhut sedang bersiap sedia menjadikan bangunan kerajaan sebagai pusat pemindahan, bekalan makanan dan keperluan kecemasan lain serta menyediakan pasukan penyelamat dan peralatan.
Hong Kong juga dijangka dilanda taufan itu dan persediaan rapi sedang dijalankan, meskipun ia diramalkan tidak akan melanda negara itu sehingga Ahad. – AFP










