KAHERAH 17 Sept.– Kumpulan pakar arkeologi Mesir menemukan sebuah patung berkepala manusia dan berbadan singa di bandar Aswan, dekat sini baru-baru ini.
Mail Online yang memetik Kementerian Antikuiti Mesir melaporkan, patung yang dikenali sebagai sphinx dan dihasilkan dengan batu pasir itu ditemukan di Kuil Kom Ombo ketika kerja-kerja memulihara tapak tersebut daripada air bawah tanah.
Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Antikuiti, Mostafa Waziri berkata, patung tersebut mungkin berasal daripada Dinasti Ptolemaic yang memerintah Mesir selama 300 tahun iaitu sekitar 320 sebelum Masihi hingga 30 sebelum Masihi.
Sehubungan itu, Mesir berharap penemuan tersebut dapat meningkatkan sektor pelancongan di negara ini yang terkenal dengan pelbagai jenis artifak bersejarah.
Penemuan itu berlaku selepas para saintis menemukan satu daripada perkampungan tertua di Sungai Nil.
Kementerian tersebut pada awal September lalu memaklumkan bahawa tapak yang berasal dari zaman Neolitik itu ditemukan di Tell el-Samara iaitu kira-kira 40 kilometer ke utara Kaherah.
Ketua arkeologi, Frederic Gio menyatakan, pasukannya turut menemukan beberapa bilik bawah tanah yang mengandungi tulang haiwan dan makanan, sekali gus menunjukkan kehidupan manusia sudah bermula seawal 5,000 sebelum Masihi.
Tempoh itu adalah kira-kira 2,500 tahun sebelum Piramid Giza dibina.
Awal tahun ini, pasukan arkeologi menemukan sebanyak 4,400 makam di Giza yang dipercayai milik seorang wanita dikenali sebagai Hetpet.
Wanita itu dipercayai merupakan keturunan diraja Mesir.










