KUALA LUMPUR – Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) pertama Proton, X70, telah membuat penampilan awam melalui program pratonton eksklusif yang dianjurkan Proton Edar Sdn. Bhd. (Proton Edar) di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa berkata, pada majlis tersebut para pelanggan, eksekutif daripada syarikat terkemuka serta bakal pembeli korporat dijemput untuk melihat reka bentuk luaran dan hiasan dalaman model berkenaan.
“Sesi pratonton pelanggan eksklusif yang bermula pada 19 September lalu merupakan yang pertama dalam siri acara yang merangkumi tujuh bandar utama di Malaysia.
“Sesi tersebut yang akan berlangsung sehingga 4 November ini akan diikuti dengan acara di Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching, Kuantan, Ipoh dan Kota Kinabalu.
“Sehingga kini, tempahan yang telah dibuka pada 8 September lalu telah mendapat maklum balas yang menggalakkan daripada pelanggan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Abdul Rashid menjelaskan, X70 telah mencapai tingkat terbaharu bagi Proton dengan reka bentuk moden dan canggih.
Menurutnya, melalui pratonton ini, pelanggan boleh melihat dengan lebih dekat supaya mereka dapat memahami tahap kejuruteraan serta merasai sendiri bahan-bahan premium yang digunakan dalam SUV ini.










