KUALA LUMPUR 24 Sept.– Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) telah mengenakan denda berjumlah S$13 juta (RM39.32 juta) terhadap Grab dan Uber ke atas penggabungan dua firma itu berikutan penggabungannya telah membawa kepada peningkatan harga mendadak dalam pasaran penyedia perkhidmatan pengangkutan e-hailing.
Ketua Eksekutif CCCS, Toh Han Li berkata, Uber dikenakan denda berjumlah S$6.58 juta (RM19.90 juta) manakala Grab sebanyak S$6.42 juta (RM19.42 juta).
“Penalti dikenakan ke atas syarikat berkenaan untuk ‘menghalang penggabungan yang tidak dapat dipulihkan yang membahayakan persaingan’,” katanya di sini hari ini.
Dalam mengenakan denda, CCCS berkata, ia mengambil kira hasil syarikat, sifat, tempoh dan keseriusan pelanggaran, serta faktor pengurangan.
Pada 26 Mac lalu, Grab mengumumkan pengambilalihan operasi Uber di Asia Tenggara dan sehari selepas itu CCCS telah melakukan siasatan sama ada transaksi itu melanggar undang-undang antimonopoli.
Han Li berkata, hasil siasatan mendapati Grab telah meningkatkan harganya selepas berjaya menghapuskan pesaing terdekatnya, Uber.
“Kami mendapati tambang perjalanan Grab meningkat antara 10 dan 15 peratus selepas perjanjian pengambilalihan.
“Selain itu CCCS juga telah menerima banyak aduan daripada penumpang dan pemandu berkenaan tambang dan komisen Grab,” katanya.
CCCS juga menekankan Grab telah membuat beberapa perubahan terhadap program kesetiaannya, GrabRewards, antaranya dengan mengurangkan jumlah mata yang diperoleh penumpang bagi setiap dolar yang dibelanjakan serta mengurangkan jumlah dan kekerapan promosi dan insentif terhadap pemandu Grab.
“Kami juga mendapati Grab ketika ini menguasai kira-kira 80 peratus daripada bahagian pasaran dan kesan rangkaiannya yang kukuh telah menyukarkan pesaing yang berpotensi untuk berkembang di pasaran terutamanya disebabkan Grab mengenakan kewajipan eksklusif ke atas syarikat teksi, kereta sewa, dan beberapa pemandunya.
Suruhanjaya tersebut hari ini turut mengumumkan langkah-langkah bagi menangani masalah persaingan serta mengurangkan kesan perjanjian kepada pemandu dan penumpang.









