Selangor pertingkat kawalan keselamatan pada pemilihan PKR bulan depan - Utusan Malaysia

Selangor pertingkat kawalan keselamatan pada pemilihan PKR bulan depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 27 Sept. – Aspek kawalan keselamatan akan dipertingkatkan pada pemilihan PKR bagi negeri Selangor yang bakal berlangsung mulai 14, 21 dan 28 Oktober nanti untuk memastikan insiden pergaduhan seperti berlaku di utara tidak berulang.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Selangor mengambil maklum dengan kekecohan yang berlaku minggu lalu dan akan mengambil segala langkah perlu bagi memastikan masalah tersebut tidak berulang, selain memastikan semua pihak berpuas hati.

Katanya, kekecohan di Pulau Pinang dan Kedah yang berpunca daripada rasa tidak puas hati berhubung perjalanan pemilihan yang menggunakan sistem e-undi akan dijadikan pengalaman dengan beberapa penambaikan perlu yang lain akan turut dilakukan.

“Keputusan sudah dibuat untuk kita terus mengekalkan sistem pemilihan e-undi, jadi kita akan lakukan beberapa penambaikan bagi memastikan insiden kekecohan dan pergaduhan minggu lalu tidak berlaku di Selangor nanti.

“Paling utama kita akan perkemaskan aspek kawalan keselamatan kerana apa paling penting, pemilihan ini adalah untuk memperkasakan parti,” katanya dalam sidang akhbar sempena pengumuman penganjuran Selangor Cyber Games di sini hari ini.

Minggu lalu beberapa ahli PKR cedera apabila berlaku pergaduhan sesama mereka termasuk bertindak membaling kerusi akibat tidak berpuas dengan perjalanan pemilihan parti di Pulau Pinang dan Kedah.

Keputusan di negeri tersebut berpihak kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan pasukannya walaupun diserang hebat kem Rafizi Ramli.

Dalam pada itu, ditanya mengenai jangkaan keputusan di Selangor yang diketahui merupakan kubu kuat Mohamed Azmin, Amirudin yang dilihat rapat dengan bekas Menteri Besar tersebut memilih untuk bersikap neutral.

“Selepas 9 Mei lalu, kita tidak boleh menjangkakan (dalam politik),” ujarnya ringkas. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN