Sejak dulu mahkamah tak tegas? - Utusan Malaysia

Sejak dulu mahkamah tak tegas?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK  beberapa minggu lalu saya dapati dcck banyak memaparkan kisah mahkamah, oleh sebab saya juga salah seorang ibu tunggal yang jadi ‘mangsa’ mahkamah syariah, sudah pasti cerita saperti ini cepat menarik perhatian saya. Oleh itu saya ingin turut meluahkan isi hati saya berkaitan mahkamah syariah dan pengalaman pahit yang saya lalui.

“Walaupun masalah saya kini sudah berlalu lebih enam tahun lalu, tetapi masalahnya amat  menghiris hati, jantung dan perasaan saya. Setiap kali anak-anak merengek minta sesuatu barang yang saya tak dapat adakan, maka saya salahkan mahkamah syariah dan bekas suami yang saya panggil si Bajang. Saya beri dia gelaran Bajang, kerana saya terlalu benci nak sebut namanya disebabkan penyeksaan yang ditinggalkan kepada saya dan tiga orang anak saya ini.

“Seperti puan Nuraini saya juga buat tuntutan ke mahkamah syariah, tetapi si Bajang ni tak pernah hadir, sebelum itu disuruh suluq. Sepatutnya suami dinasihatkan supaya beri nafkah anak-anak selepas saya diceraikan. Amboi kerana dia memang nak kahwin sangat, maka si Bajang ini dengan bangganya cakap nak bagi nafkah tetapi jumlahnya sedikit, bayangkan untuk tiga anak dia nak bagi RM300 sebulan. Mana cukup!

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tak setuju! Nak beli susu anak dan lampin pun tak cukup, belum masuk makan minum dan yuran anak sulung ke tadika. Tetapi pegawai suluq tu nasihatkan saya terima ajalah. Alasannya saya kena timbang rasa sebab suami pun nak kahwin lagi, nak ada keluarga baru. Saya tak peduli dia nak kahwin, tapi apa hal dengan nasib anak-anak saya.’’ Itu cerita Hanisuria menceritakan masalahnya.

“Setelah berbincang dan bertolak ansur, akhirnya dia cuma sanggup nak bagi RM400 sahaja, lepas tu pegawai itu nasihatkan saya kalau tak cukup juga tuntutlah ke mahkamah, carilah peguam. Saya katakan, nak bagi anak-anak makan pun susah, sebab saya tak bekerja, jadi macam mana nak cari duit nak guna peguam. Dia nasihatkan guna peguam Biro Bantuan Guaman.

“Oleh sebab si Bajang setuju nak bagi RM400 sebulan, maka saya pun tunggulah, daripada tak dapat langsung. Malangnya, selepas enam bulan duit masih tak dapat juga. Berkali-kali saya telefon si Bajang minta nafkah, tak dapat jawapan. Telefon pejabat, memanjang tak ada, sentiasa keluar. Kerana tak ada duit dalam tangan, saya terpaksa tolak apa saja barang dalam rumah termasuk periuk elektrik setelah gelang pemberian emak saya gadaikan.

“Tiga bulan berlalu hidup semakin terdesak, saya terpaksa balik kampung duduk dengan emak.

Sebab siapa nak bayar sewa rumah? Tuan rumah sudah beberapa kali bertanyakan sewa, takkan saya nak duduk percuma lagi.

“Nak duduk dengan emak pun bukan senang, proses terlalu banyak, pertama, kena tanya adik-beradik dulu. Kedua, nak pinjam duit emak sebab sewa rumah tak berbayar. Ketiga, nak sewa van nak bawak keluar sedikit sebanyak barang rumah, pinggan mangkuk, tilam dan pakaian.  Oleh sebab emak pun tak ada duit. Maka saya terpaksa tinggalkan peti sejuk, katil dan mesin jahit pada tuan rumah, sebagai ganti bayar hutang sewa rumah yang banyak tertunggak.

Peguam

“Oleh sebab desakan hidup, kerja tak ada, dan emak pun nasihatkan pergilah jumpa peguam biro mana tau dia boleh bantu. Proses jumpa peguam ini bukan mudah, nak jumpa peguam biro kena datang berkali- kali, sebab memanjang peguam sibuk, ada meeting di luar dan sebagainya. Dan saya terpaksa buang masa sehari suntuk datang KL sebab saya duduk jauh.

“Bila dapat jumpa peguam saya fikir bolehlah kes saya dibawa ke mahkamah, rupa-rupanya tidak. Peguam nasihatkan saya, katanya lebih baik terima saja nafkah yang suami mahu beri, sebab dia kesian tengok saya turun naik KL. Dia tak pulak nasihatkan saya supaya pindahkan kes ke tempat saya. Masalahnya jumlah yang nak diberi RM400 itu terlalu kecil dan tak mencukupi.  Akhirnya dia kata kalau nak minta lebih, saya kena berkorban turun naik mahklamah dan proses ini akan memakan masa beberapa tahun.

“Memang lama, hampir dua tahun bercerai si Bajang ni masih tak bagi nafkah, puas saya cari dia, telefon keluarganya minta bantuan supaya nasihatkan si Bajang bertimbang rasa dan tolong beri nafkah, tetapi keluarganya beritahu mereka pun tak tahu di mana rumah Bajang. Katanya lagi sejak kahwin, Bajang tak pernah balik kampung.

“Oleh sebab terdesak, saya pernah dua kali ke pejabat Bajang dengan niat minta nafkah, tetapi pengawal tak benarkan masuk dan beritahu si Bajang  tu tak ada di pejabat dan kerja luar daerah. Kalau pengawal ini berbohong, biarlah dia terima balasan perbuatannya menganiaya saya.

“Duduk dengan emak memang dapat makan, tetapi terasa tak tertelan nasi yang disuap kerana duit belanja beli barang makanan tersebut adik-beradik yang beri untuk emak, tetapi saya anak-beranak pulak yang tumpang makan. Malunya hanya Allah sahaja yang tahu.

“Nak cari kerja saya terikat dengan anak-anak yang masih kecil, kalau saya pergi bekerja takkan emak yang sudah tua ini kena jaga anak-anak saya. Ya Allah memang susah dan memang serba salah. Sebenarnya memang saya tak mahu susahkan emak, tetapi apa saya boleh buat. Ke mana lagi saya harus pergi untuk bawa anak-anak yang masih kecil ini. Akhirnya  satu hari emak bincang dengan saya, emak nasihatkan saya kahwin lagi, mana tahu suami baru nanti boleh tanggung makan minum kami anak beranak. Terkejut beruk saya, sebab emak kata dulu emak pun janda anak satu, tapi lepas kahwin dengan duda hidupnya lebih senang.

“Walaupun itu kisah zaman dulu, ia tetap sama seperti sekarang. Masalahnya tetap sama. Emak kahwin duda iaitu ayah. Lepas bercerai, ayah tinggalkan isteri dan dua orang anaknya dengan ibu mentuanya. 

“Oleh sebab zaman dahulu tak ada mahkamah syariah, tak ada peraturan dan undang-undang yang ada cuma khadi, yang tugasnya hanya menikahkan dan menceraikan pasangan suami isteri. Jika ditakdirkan pasangan itu bercerai, khadi tidak nasihatkan si ayah beri nafkah untuk anak-anaknya. Ikut pandai bekas isterinyalah besarkan anak-anaknya.  Masyarakat zaman itu pulak tak pernah tahu pasal tuntutan nafkah seperti sekarang. Orang lelaki tak pernah ambil tahu kebajikan dan nafkah anak-anak. 

“Masalah inilah jadi ikutan sampai sekarang, kerana itu ramai lelaki langsung tak ambil peduli anak-anak selepas bercerai, seolah-olah anak-anak tersebut bukan anak dia lagi, sudah jadi anak si isteri dan tanggungjawab keluarga bekas mentuanya.

“Siapa bersalah dalam masalah ini kalau bukan orang pejabat agama, alim ulama, khadi, mahkamah syariah yang tidak menasihatkan kaum lelaki bertanggungjawab kepada anak anak yang diamanahkan oleh Allah. Lebih teruk lagi ada ibu bapa mentua salahkan menantu perempuannya dan minta  si menantu bertanggungjawab. Mereka seolah-olah menyokong anak lelaki mereka membebankan bekas isteri untuk menyara anak-anak lepas bercerai.

“Untuk meneruskan hidup saya terpaksa ambil upah menjahit kain dengan menggunakan mesin emak. Oleh sebab saya tak pandai sangat tentulah upah yang diterima tak seberapa. Untuk meneruskan hidup saya terpaksa pekakkan telinga jika terdengar suara-suara kasar adik-beradik menyindir saya. Kini enam tahun berlalu anak bongsu saya sudah masuk sekolah maka saya terpaksa kerja kilang. 

“Hingga kini Bajang langsung tak bagi nafkah walaupun saya dah tuntut di mahkamah syariah. Bila mahkamah panggil dia tak pernah datang. Pada pandangan saya oleh sebab mahkamah syariah dan pejabat agama tidak menasihatkan si ayah  seperti si Bajang inilah, maka ramai ayah yang mengelak bagi nafkah anak-anak tanpa memikirkan dosa besar yang telah mereka lakukan melanggar amanah Allah.” Itu cerita Hanisuria tentang masalahnya untuk tuntut nafkah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini