KUALA LUMPUR 11 Sept. – Pemuda MCA menggesa kerajaan mempertimbangkan secara serius penggubalan akta antigangguan seksual berikutan kes seorang bekas pegawai Timbalan Menteri Dalam Negeri yang didakwa merakam bawah skirt seorang wanita kelmarin.

Naib Pengerusinya, Nicole Wong Siaw Ting memberitahu, banyak kes gangguan serta serangan seksual dilaporkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan menegaskan bahawa masalah itu sangat serius.
Beliau percaya, selain daripada pandangan dan sokongan yang dizahirkan oleh orang awam, lebih penting untuk kerajaan memperkasakan undang-undang bertujuan melindungi mangsa berpotensi.
“Saya gesa kerajaan untuk menggubal undang-undang antigangguan seksual dan mengendalikan kes jenayah seumpamanya sebagai langkah pencegahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Siaw Ting Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sewajarnya mempercepatkan perbincangan dan menggubal enakmen perundangan tersebut untuk membasmi gangguan seksual.
“Sebagai tambahan, Pemuda MCA menawar diri menyediakan bantuan perundangan kepada mangsa, untuk melindungi orang di sekeliling dan memastikan maruah setiap orang dijaga,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE










