Sebelum Iblis Menjemput penuh adegan ngeri - Utusan Malaysia

Sebelum Iblis Menjemput penuh adegan ngeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIARPUN banyak filem seram ditayangkan di layar perak pada masa ini, namun ada suatu kelainan yang dipaparkan bagi setiap karya sehinggakan naskhah sebegini mempunyai pengikut tersendiri.

Begitulah juga dengan sebuah filem bergenre seram karya sutradara tersohor dari Indonesia, Timo Tjahjanto yang berjudul Sebelum Iblis Menjemput.

Pasti membikin jantung berdegup kencang, itu kenyataan yang tidak mampu disangkal untuk membahaskan filem ini yang sudah ditayangkan di Indonesia sejak 9 Ogos lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Membariskan barisan pelakon yang hebat antaranya Chelsea Islan, Pevita Pearce, Samo Rafael, Karina Suwandi, Ruth Marini dan Ray Sahetapy, karya ini harus ditonton bagi peminat karya seram yang mahukan kelainan.

Iblis

Pengarah dan juga selaku penulis skrip, Timo memberitahu, filem Sebelum Iblis Menjemput adalah sebuah karya yang lain daripada lain.

“Saya tidak mahu begitu memberi fokus kepada elemen pemujaan, tetapi lebih kepada godaan iblis yang membuatkan seseorang itu terperangkap dalam perjanjian dengan makhluk yang dilaknat Tuhan itu,” ceritanya.

Bercakap mengenai pelakon pula, Timo amat berpuas hati terhadap komitmen setiap daripada mereka yang mendukung watak masing-masing dengan begitu bersungguh-sungguh.

“Komitmen barisan pelakon yang sangat tinggi menjadikan filem ini lebih menarik untuk ditonton.

“Malah, saya juga berpuas hati kerana dapat membawa Chelsea dan Pevita keluar daripada zon selesa mereka sebagai pelakon,” ujarnya.

Dalam pada itu, Timo juga berharap agar penonton di negara ini menerima dan menyukai karya arahannya itu memandangkan ia merupakan filem pertamanya yang berjaya memasuki pasaran Malaysia tanpa sebarang potongan.

Sebelum ini filem arahannya, Rumah Dara, Killers dan Headshot tidak dapat ditayangkan di Malaysia atas sebab-sebab tertentu.

Apa kata pelakon

Memandangkan ini adalah kemunculan pertama Chelsea dan Pevita untuk filem bergenre seram, banyak perkara yang dikongsi oleh dua anak gadis ini.

Menurut Chelsea, banyak perkara yang telah dipelajari mereka.

“Menerusi naskhah ini, banyak yang dipelajari termasuk mimik muka, emosi selain terpaksa menjalani aktiviti bagi menguatkan fizikal.

“Ia sangat berbeza dengan filem bergenre lain yang hanya memerlukan seseorang pelakon duduk di satu tempat kemudian membaca, menghafal skrip dan menganalisis karya yang bakal dilakonkankan,” ujarnya.

Katanya lagi, watak yang digalasnya sangat mencabar berbanding karakter yang dilakonkannya sebelum ini.

“Saya keluar daripada zon selesa dan berhadapan dengan pelbagai adegan ekstrem misalnya berlari-lari di dalam hutan, di bawah kehujanan dan ia boleh mengambil masa lebih lapan jam,” ceritanya.

Sementara itu, Pelvita pula berharap agar filem itu dapat diterima baik oleh seluruh rakyat Malaysia.

“Di Indonesia, filem ini telah diterima baik, malah penontonnya sudah melebihi angka satu juta orang.

“Semoga naskhah ini juga diterima dan terus mendapat sambutan daripada orang ramai di negara ini,” katanya.

Sebelum Iblis Menjemput mengisahkan tentang seorang gadis bernama Alfie (lakonan Chelsea Islan) yang mempunyai kisah silam yang tragis.

Ayahnya, Lesmana (Ray Sahetapy) meninggalkan Alfie selepas ibunya, Intan meninggal dunia secara misteri.

Lesmana berkahwin dengan seorang wanita muda, Laskmi (Karina Suwandi) yang mempunyai dua orang anak hasil daripada perkahwinan sebelum ini iaitu Maya (Pevita Pearce) dan Ruben (Samo Rafael).

Setelah sekian lama hidup bersendirian, Alfie menerima berita bahawa Lesmana sedang tenat di hospital kerana dilanda penyakit misteri. Situasi menyeramkan yang dialami Alfie sewaktu di hospital menyebabkan dia ingin ke villa lama keluarga mereka di kawasan pergunungan untuk mencari jawapan.

Laksmi dan anak-anaknya muncul di saat Alfie sedang meneliti barang-barang lamanya di tingkat atas.

Sikap dingin Alfie menyebabkan berlakunya pertengkaran kecil. Laksmi meneruskan niatnya untuk mencari jika ada barang berharga dalam villa berkenaan.

Sementara Laksmi sibuk menggeledah hampir setiap sudut villa, Alfie dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dan perkara mengancam mereka di situ.

Tanpa mereka sedar, kewujudan mereka di villa itu telah membangkitkan sesuatu yang menakutkan apabila mereka membuka pintu yang telah dikunci untuk sekian lamanya.

Apakah yang sebenarnya yang berlaku dan bagaimanakah kesudahannya? Jangan lupa menonton Sebelum Iblis Menjemput yang telah ditayangkan di pawagam negara ini bermula 20 September lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini