Sabah masih selamat dikunjungi - Mohamaddin - Utusan Malaysia

Sabah masih selamat dikunjungi – Mohamaddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU – Menteri Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Mohamaddin Ketapi tidak menolak kemungkinan penglibatan ‘orang dalam’ berlakunya kejadian penculikan melibatkan dua nelayan warga Indonesia di perairan Pulau Bod Gaya di Semporna pada Selasa lalu.

Mohamaddin berkata, beliau yakin kawasan perairan negara telah dikawal ketat pihak berkuasa khususnya Pasukan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sehingga menyukarkan pencerobohan berlaku di perairan Sabah.

Menurut beliau, adalah mustahil Esscom dan pasukan keselamatan maritim khususnya tidak mengesan pergerakan individu yang mencurigakan datang menghampiri sempadan perairan negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak mahu komen mengenai isu penculikan kerana ia bidang kuasa polis. Bagaimanapun, melihat kepada kawalan keselamatan Esscom semuanya dikawal. Mungkin ada penglibatan orang dalam.

“Dengan kawalan keselamatan yang cukup, pihak berkuasa Esscom dan maritim mampu menghalang orang luar masuk ke sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas  merasmikan program Eco Art Inspires di Segama Waterfront Kota Kinabalu di sini hari ini.

Mohamaddin merangkap Ahli Parlimen Silam turut memberitahu, kes penculikan yang berlaku di perairan Semporna baru-baru ini tidak akan menjejaskan kedatangan pelancong ke negeri ini.

“Kejadian penculikan ini tidak kerap berlaku dan hanya terjadi di kawasan pantai timur. Saya berpendapat kawasan pantai barat Sabah dan bahagian lain di negeri ini selamat untuk dilawati,” katanya.

Terdahulu, Selasa lalu, dalam kejadian pukul 1 pagi, dua warga Indonesia masing-masing juragan dan pembantu bot berusia 35 dan 40 tahun diculik ketika menangkap ikan oleh dua lelaki berpakaian gelap dan bersenjata.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah memaklumkan, dipercayai mangsa culik terbabit telah dibawa ke satu lokasi dikenali sebagai Talipau di selatan Filipina.

Ia berikutan lokasi kejadian berdekatan dengan sempadan perairan negara jiran itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini