KUALA LUMPUR – Pelakon yang juga pengarah filem One Two Jaga, Nam Ron semalam mendedahkan dirinya pernah terfikir untuk merompak sebuah kedai serbaneka kerana kesempitan hidup.
Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan, 48, berkongsi cerita itu melalui Twitternya.
Ceritanya, kira-kira 18 tahun lalu, beliau pernah berbulan tiada pekerjaan tetap selepas tamat belajar.
“Saya menyewa di bilik paling kecil di rumah kedai tiga tingkat. Di bawahnya ada sebuah kedai serbaneka. Pekerjaan saya ketika itu hanyalah kru teknikal dan pentas. Jadi, bayaran gaji tidak tetap.
“Ada suatu masa, saya berbulan tiada pekerjaan. Bila tiada kerja, duit pun tiada. Barang makanan semua habis licin, dekat seminggu saya tidak makan.
“Ingat lagi dalam keadaan lapar saya berdiri di kedai serbaneka tersebut di bawah rumah. Saya fikir ingin acu pisau dekat juruwang supaya dia serahkan duit. Kalau kena tangkap, saya akan beri alasan sudah seminggu tidak makan sebab tiada kerja,” ujar Nam Ron.
Bagaimanapun, beliau berkata, jenayah itu tidak dilakukannya selepas pengarah yang merupakan rakannya, U-Wei Saari membantunya.
“Saya beritahu dia yang saya hampir merompak. Dia seluk poket seluarnya dan bagi saya RM50. Dia bercerita bahawa ketika dia bekerja di New York, dia pernah pandu teksi dan sesekali buat kerja kru produksi filem lucah.
“Saya tak pasti betul atau sebaliknya. Apa yang pasti, duit RM50 itu membuatkan saya tangguh rancangan ingin rompak kedai,” tulisnya yang turut memberitahu, filem One Two Jaga arahannya mengambil sedikit inspirasi daripada pengalaman peristiwa terbabit.











