SAUDARA PENGARANG, LUMRAH musim cuti sekolah mahupun cuti umum berturut-turut seperti Awal Muharam dan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini, lebuh raya dan pusat-pusat percutian penuh dengan kereta dan pengunjung.
Antara yang menjadi sasaran ramai adalah Cameron Highlands dan Genting Highlands sama ada pergi balik hari atau bermalam di resort serta pusat peranginan yang ada di sana.
Malangnya, masih ada yang cuba bercuti spontan tanpa merancang perjalanan dan tempat penginapan sehingga akhirnya terperangkap dalam kesesakan teruk malah tidak mendapat tempat menginap sehingga terpaksa tidur di dalam kereta.
Jika bukan musim cuti sekolah mahupun cuti umum, mungkin bercuti spontan itu tidak menjadi masalah dan lebih menarik bagi pasangan muda meluangkan masa bersama.
Namun, jangan ‘buang tabiat’ pergi bercuti tanpa merancang dan menempah penginapan pada waktu-waktu puncak kerana akhirnya diri sendiri yang merana. Terima nasihat daripada orang lama yang sudah merasa peritnya tidur di dalam kereta di tepi jalan.
FARIDAH HASHIM
Rawang, Selangor







