KUALA LUMPUR 26 Sept. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa khuatir susulan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini bahawa kerajaan Persekutuan dan negeri mempunyai hak untuk memfailkan saman terhadap individu kerana fitnah.
Beliau risau sekiranya keputusan itu mungkin memberi ruang yang besar kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mengancam hak kebebasan bersuara dan hak mengkritik kerajaan Persekutuan mahupun negeri.
Beliau berasa pelik dengan mendakwa sehingga kini tiada seorang pun pemimpin PH mengulas tentang keputusan mahkamah tersebut yang baginya bakal membawa kesan besar.
“Ini kerana kerajaan mempunyai dana dan tenaga guaman yang cukup besar bagi memfailkan saman fitnah kepada mana-mana individu yang tidak mempunyai sumber dana kewangan dan guaman sebesar kerajaan untuk mempertahankan diri mereka.
“Di kebanyakan negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia, undang-undang mereka tidak membenarkan kerajaan untuk memfailkan saman fitnah ke atas rakyat masing-masing,” katanya menerusi status dalam akaun Facebook beliau hari ini.
Beliau mengulas mengenai bekas Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen yang gagal dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan bahawa pihak berkuasa awam boleh menyaman seorang individu kerana fitnah.
Kata Najib, sekiranya keputusan sedemikian dibuat sewaktu kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah, sudah tentu berpuluh-puluh aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin pembangkang berlumba-lumba mengeluarkan kenyataan bahawa ia keputusan yang tidak adil, zalim, menindas, berbahaya, meragut demokrasi, mengancam kebebasan bersuara dan kebebasan media.
“Malah, saya akan turut dipersalahkan oleh mereka, biarpun ia adalah keputusan mahkamah,” katanya.-UTUSAN ONLINE










