Rakyat Malaysia disifatkan pragmatik - Utusan Malaysia

Rakyat Malaysia disifatkan pragmatik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak ramai menyedari ba­hawa Malaysia-Brazil mem­punyai hubungan dip­lomatik yang unik sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya.

Biji getah Brazil dibawa ke negara ini sehingga getah menjadi komoditi utama yang men­yumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Sejak itu hubungan kedua-dua negara terus berkembang,” kata Kaunselor Menteri Kedutaan Brazil, Daniel Falcon Lins.

Beliau menambah, Malaysia-Brazil juga berkongsi kebudayaan Portugis sejak dulu lagi dan mempunyai pelbagai rakyat berbilang bangsa dan agama.

Daniel yang berkhidmat di kedutaan sejak Januari 2016 sering kali didatangi rakyat Malaysia yang menegurnya dalam Bahasa Melayu kerana menyangkakan dia orang tempatan.

“Brazil dan Malaysia, mempunyai penduduk campuran yang berbilang bangsa, sekira anda berada di Brazil, anda juga orang Brazil begitu juga sebaliknya,” kata beliau.

Daniel yang turut mengagumi kemodenan Malaysia berkata: “Sebelum ini, saya berkhidmat di Kedutaan Brazil di India dan tinggal di New Delhi selama beberapa tahun sebelum ditugaskan ke Malaysia. Saya jangkakan negara ini (Malaysia) sebuah negara moden dan ia memenuhi jangkaan saya.”

Beliau berkata, sikap rakyat Malaysia yang pragmatik turut menyenangkannya.

“Pada saya, itulah kelebi­­­han Malaysia dan sesuatu yang baik. Selain itu, Malaysia juga mempunyai hubungan yang baik dengan negara-negara jiran yang lain,” kata beliau sambil menjelaskan terdapat sekitar 130 keluarga warga Brazil telah bermastautin di Malaysia kerana bekerja di negara ini.

Daniel menambah, hubu­ngan Malaysia-Brazil bukan setakat diplomatik tetapi juga ke sektor perdagangan yang saban tahun menunjukkan trend yang baik bagi kedua-dua negara.

Katanya, jumlah perdagangan Malaysia dengan Brazil me­ningkat sekitar AS$4.0 bilion (RM16.55 bilion) tahun lalu, sekali gus mengukuhkan kedudukan Brazil sebagai rakan perdagangan utama Malaysia di Amerika Latin.

“Malaysia banyak mengeks­port barangan elektronik dan mekanikal manakala Brazil pula mengimport gula, jagung untuk binatang ternakan, ternakan ayam dan daging serta peralatan kesihatan,” katanya.

Daniel menjelaskan Brazil juga merupakan pengeluar industri makanan halal termasuk ternakan halal.

“Kami berharap pelaburan antara kedua-dua negara dapat dikukuhkan kerana Brazil mempunyai banyak kelebihan dari segi memiliki kawasan tanah yang luas dan sektor agrikultur yang efisien.

“Kita boleh lakukan lebih banyak lagi dari segi perdaga­ngan dan pelaburan. Saya berharap hubungan akan berkembang dan mempelbagaikan lagi aktiviti di kedua buah negara dengan meneroka pelbagai pe­luang, terma­suklah prospek membentuk kerjasama,” kata Daniel.

Beliau berkata, negaranya berminat untuk beker­jasama dalam bidang pendidikan, Technological Institute of Aeronautics (ITA) telahpun menjalin kerjasama dengan sebuah universiti swasta tempatan, UniKL.

“Brazil merupakan negara pengeluar ketiga terbesar di dunia dalam jet komersial. Kami bersedia menerima penuntut untuk dilatih dan berkongsi kepakaran dengan ITA yang berpusat di Sao Paulo,

“Kami mahu menumpukan kepada kerjasama ini, ini sasaran utama kami pada masa ini,” tambah beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN