RENNES – Jurulatih Paris Saint-Germain (PSG), Thomas Tuchel mengakui teruja dengan aksi para pemainnya apabila berjaya mencatatkan kemenangan 3-1 ketika berdepan Rennes di Stadium Roazhon Park kelmarin.
Jaringan sendiri Adrien Rabiot pada awal perlawanan berjaya meletakkan pasukan tuan rumah di depan sebelum Angel Di Maria, Thomas Meunier dan Eric Maxim Choupo-Moting masing-masing menyumbangkan satu gol untuk melengkapkan kemenangan PSG ketika bertandang ke tempat lawan.
Kemenangan tersebut menunjukkan PSG kini cukup sempurna pada aksi Ligue 1 apabila berada di bawah kendalian Tuchel selepas menang dalam semua enam aksi liga musim ini biarpun mereka masih dirundung kekecewaan tewas 2-3 kepada Liverpool di pentas Liga Juara-Juara sebelum ini.
“Ia adalah respons yang sangat bagus ditunjukkan oleh pemain selepas kecewa di Anfield dan kami terlebih dulu membiarkan pasukan lawan mendahului melalui jaringan sendiri.
“Kami turun dan bermain dengan penuh keberanian. Saya melihat ada peningkatan dipamerkan oleh pemain dan ini adalah perkara penting yang kami perlukan pada setiap perlawanan.
“Kami mengambil masa antara 15 hingga 20 minit untuk memberikan reaksi kepada Rennes selepas mereka terlebih dulu di depan.
“Kami banyak kehilangan bola, namun pemain dapat mengatasinya dalam masa yang singkat meskipun mereka juga sentiasa memberikan tekanan kepada Rennes.
“Kemenangan ini sangat penting terutamanya untuk memberikan semula keyakinan kepada pemain walaupun ia bukan suatu yang mudah diraih kerana Rennes mempunyai corak permainan yang menarik,” kata Tuchel. – Agensi










