PRK Port Dickson: Pas akan beri sokongan - Utusan Malaysia

PRK Port Dickson: Pas akan beri sokongan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 13 Sept. – Majlis Syura Ulama hari ini mengesahkan Pas akan memberi laluan kepada calon UMNO untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson menentang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang mempersiapkan diri untuk menjadi Perdana Menteri.

Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr. Mahfodz Mohamad berkata, bagi tujuan itu Pas akan untuk turun padang  berkempen memberi sokongan kepada calon UMNO yang bakal dipilih kelak bagi memastikan pembangkan dapat memberi saingan setimpal.

“Dengan ini Pas tak akan kemukakan calon kita sebab kita sudah beri laluan kepada UMNO untuk mengemukakan calonnya bagi bertanding di kerusi berkenaan (Parlimen Port Dickson).

“Semalam kita dah bincang mengenai perkara itu dan kita dah buat keputusan untuk beri laluan kepada UMNO, kita akan beri sokongan sebagaimana UMNO beri sokongan kepada kita (Pas) pada PRK di Seri Setia,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu dalam sidang akhbar selepas perasmian Muktamar Tahunan Dewan Ulama Pas Pusat kali ke- 57 sempena Muktamar Tahunan Pas ke-64 yang bermula hari ini di Hotel Permai In di sini hari ini.

Perasmian disempurnakan oleh Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin dan dalam majlis itu, Dr. Mahfodz turut menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Islam Jalan Penyelesaian’.

Yang turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; barisan kepemimpinan tertinggi Majlis Syura Ulama termasuk Timbalan Ketua Dewan Ulama yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulama, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang.

Dalam pada itu, Timbalannya, Dr. Nik Muhammad Zawawi berkata, sebagai rakan parti pembangkang, Pas bersama parti lain akan membentuk kerjasama serta kekuatan termasuk di Sabah dan Sarawak dalam mendepani lawan daripada Pakatan Harapan.

“Ini bermakna, kalau berlaku pilihan raya di satu-satu kawasan, hanya akan ada satu saja wakil daripada pihak pembangkang,” ujarnya.

Kerusi Parlimen Port Dickson bakal ditandingi oleh Anwar dalam PRK setelah penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan peletakan jawatannya serta-merta semalam sebagai Ahli Parlimen kawasan itu. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN