KUALA LUMPUR 18 Sept. – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Malaysia perlu meneruskan polisi bebas nuklear bagi menjana kuasa elektrik dengan penggunaan bahan api yang dijamin lebih selamat.
Menurut Perdana Menteri, penggunaan nuklear hanya mendatangkan kemudaratan dan kemusnahan terhadap alam sekitar serta hidupan berikutan pencemaran radiasi.
Jelasnya, penggunaan bahan api terbukti lebih selamat selain boleh dijana menerusi pelbagai sumber seperti arang batu, minyak dan tenaga hidro.
“Kita tidak pernah terfikir menggunakan kuasa nuklear. Kemajuan sains belum dapat menyelesaikan masalah pelupusan bahan radiasi itu sejak mula dijadikan sumber tenaga.
“Apa yang kita dapat pelajari daripada pembuangan sisa radiasi ialah ia sukar untuk dimusnahkan,” katanya dalam ucaptama sempena Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (CEPSI) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Leo Moggie.
Persidangan berkenaan berlangsung selama enam hari sehingga 22 September ini.
Menurut Dr. Mahathir, Malaysia mempunyai pengalaman penggunaan bahan yang mencetuskan radiasi apabila diaktifkan iaitu amang untuk membuat televisyen berwarna.
Bagaimanapun kata Perdana Menteri, bahan itu tidak lagi digunakan ekoran kemajuan teknologi tetapi sisa bahan tersebut terpaksa dihapuskan.
“Sisa amang tersebut perlu ditanam dalam kawasan seluas satu kilometer persegi yang mewujudkan isu penggunaan kawasan tanah yang luas,” ujarnya.
Katanya, kejadian gempa bumi yang memusnahkan loji janakuasa nuklear di Fukushima, Jepun pada suatu masa dahulu juga merupakan contoh kemusnahan kawasan yang dicemari radiasi.
Jelas beliau, banyak wang terpaksa dibelanjakan oleh kerajaan negara itu untuk memulihkan keadaan yang rosak akibat daripada pencemaran radiasi tersebut.









